Khamis, 7 Jun 2018 | 10:15pm
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. - Foto Saddam Yusoff
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. - Foto Saddam Yusoff

KWAP anjur persidangan alam sekitar

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bakal menganjurkan Persidangan Alam Sekitar Inspirasi KWAP 2018 pada bulan depan.

Persidangan dua hari itu, bermula 17 Julai, akan dianjurkan bersama dengan World Wide Fund for Nature (WWF) sebagai penasihat ilmu dan sebahagian daripada inisiatif Minggu Pelaburan Lestari 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, berkata persidangan itu akan menyediakan platform kepada peserta untuk membincangkan bagaimana untuk menggunakan strategi pelaburan bagi mengenal pasti dan memanfaatkan peluang-peluang perniagaan yang menyumbang kepada pembangunan lestari dan menangani perubahan iklim.

"Sebagai dana pencen terbesar di Malaysia bagi sektor awam, KWAP mempunyai komitmen untuk menjamin masa depan yang mampan bagi pesara di negara ini yang hanya boleh dicapai dengan mengalihkan modal kepada penyelesaian yang menangani cabaran alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan.

Bertemakan "Igniting Action for a Better Tomorrow", persidangan itu akan menampilkan penceramah dan pakar yang terkenal dari seluruh dunia seperti peneraju alam sekitar Robert Swan dan Ketua Inisistif Kewangan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa Bersatu Eric Usher.

Wan Kamaruzaman berkata, persidangan juga akan mengkaji keadaan semasa kesan perubahan iklim, peranan utama institusi kewangan dalam pengawasan alam sekitar, pengeluaran makanan dan kemampanan rantaian bekalan.

"Peserta terdiri daripada pemilik dan pengurus aset, pengawal selia, dan profesional sektor kewangan di galakkan menyertai persidangan tersebut dan melayari www.kwapinspire.com.my untuk pendaftaran," katanya. --BERNAMA

Berita Harian X