Isnin, 28 Mei 2018 | 4:56pm
KETUA Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad ketika ditemui selepas bertemu dengan anggota Majlis Penasihat Negara di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
KETUA Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad ketika ditemui selepas bertemu dengan anggota Majlis Penasihat Negara di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

SRC International bayar hutang ikut jadual: KWAP

KUALA LUMPUR: Pembayaran pinjaman oleh SRC International Sdn Bhd kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP adalah mengikut jadual setakat tahun lalu.

Bagi tahun ini, ia akan bergantung mengikut jadual pembayaran yang mana dibuat setiap enam bulan, kata Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

"Pembayaran (pinjaman) daripada SRC International adalah mengikut jadual setakat tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas bertemu dengan anggota Majlis Penasihat Negara di sini, hari ini.

Wan Kamaruzaman berkata, isu SRC International turut dibincangkan dalam pertemuan dengan anggota majlis berkenaan.

Beliau berkata, selain membincangkan mengenai kemampuan SRC International membuat pembayaran pinjaman pada masa depan, isu mengenai tadbir urus, pencen dan pelaburan KWAP turut dibincangkan.

"Isu dibincangkan adalah mengenai tadbir urus dan menjadikan pencen lebih mapan serta pelaburan kami. Mengenai pelaburan, ia membabitkan kesemua pelaburan kami termasuk SRC International,," katanya.

SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum diambil alih Menteri Kewangan Diperbadankan pada 14 Februari 2012.

KWAP pula ditubuhkan pada 1 Mac 2007 di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007, menggantikan Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991.

Berita Harian X