Selasa, 8 Mei 2018 | 6:45pm
MOHD Uzir pada sidang media mengenai Prestasi Ekonomi Negeri dan Statistik Gaji dan Upah bagi 2017 di Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya, hari ini. - Foto Rosela Ismail

Tujuh negeri catat KDNK atasi paras nasional

KUALA LUMPUR: Tujuh negeri mencatat pertumbuhan ekonomi lebih tinggi daripada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dicatat negara pada tahun lalu iaitu 5.9 peratus, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata Sabah merekodkan pertumbuhan KDNK tertinggi dengan mencatatkan pertumbuhan 8.2 peratus, berbanding 4.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Katanya, ia diikuti Melaka (8.1 peratus) , Pahang (7.8 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (7.4 peratus), Selangor (7.1 peratus), Johor (6.2 peratus) dan Wilayah Persekutuan Labuan (6.1 peratus).

Terengganu pula menyamai prestasi ekonomi nasional apabila KDNK negeri itu pada tahun lalu berkembang pada kadar 5.9 peratus.

Sementara itu, pencapaian negeri lain menyaksikan Perak mencatatkan pertumbuhan KDNK 5.5 peratus, Pulau Pinang (5.3 peratus), Kelantan (5.0 peratus), Kedah (5.0 peratus), Negeri Sembilan (4.9 peratus), Sarawak (4.7 peratus) dan Perlis (2.3 peratus).

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, prestasi memberangsangkan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian adalah pemacu bagi pertumbuhan KDNK bagi Pahang, Selangor, Perak, Kelantan dan Johor.

"Prestasi menggalakkan dalam sektor pembinaan pula mempengaruhi lonjakan pertumbuhan KDNK bagi Melaka, Terengganu, dan Negeri Sembilan.

"Pertumbuhan KDNK Kedah disumbangkan oleh sektor pertanian dan perkhidmatan manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur didorong khususnya oleh sektor perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan KDNK Sabah dan Sarawak dipengaruhi oleh sektor berasaskan komoditi seperti pertanian dan perlombongan.

"Sementara itu, Prestasi lebih perlahan dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan di Pulau Pinang dan Perlis menyumbang kepada pertumbuhan perlahan di kedua-dua negeri itu," katanya.

Secara keseluruhan, beliau berkata, enam negeri menyumbang 71.2 peratus kepada KDNK nasional pada tahun lalu berbanding 70.6 peratus pada tahun sebelumnya.

"Selangor mencatatkan sumbangan sebanyak 23 peratus diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (15.6 peratus), Sarawak (9.7 peratus), Johor (9.5 peratus), Sabah (6.8 peratus), dan Pulau Pinang (6.6 peratus).

Dalam pada itu, perangkaan turut menunjukkan 12 negeri merekodkan pertumbuhan KDNK negeri lebih baik pada 2017, berbanding 2016.

Berita Harian X