Selasa, 24 April 2018 | 9:31am

PETRONAS hantar kargo LNG pertama kepada S-OIL di Korea Selatan

GWANGYANG: PETRONAS, menerusi anak syarikat, PETRONAS LNG Ltd (PLL) membuat penghantaran gas asli cecair (LNG) pertama kepada S-OIL Corporation, syarikat penapisan minyak Korea Selatan, pada 22 April lalu.

Penghantaran itu menandakan permulaan pembekalan PLL kepada S-OIL untuk tempoh 15 tahun di bawah Perjanjian Jual Beli (SPA).

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan PETRONAS pagi ini.

Di bawah perjanjian itu, PLL akan menghantar sehingga 0.7 juta tan setahun (MTPA) LNG kepada S-OIL.

Kargo pertama itu berlepas dari Kompleks LNG PETRONAS di Bintulu, Sarawak, ke Terminal POSCO Gwangyang menggunakan Puteri Zamrud Satu, kapal LNG yang disewa Malaysia LNG dan dikendalikan anak syarikat PETRONAS, MISC Bhd (MISC).

Pada majlis ketibaan pertama kargo itu, Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG PETRONAS, Ahmad Adly Alias, berkata kejayaan penghantaran itu disumbang kepada keberkesanan kerjasama antara PETRONAS, S-OIL, POSCO dan MISC, dalam memastikan semua cabaran operasi ditangani secara berkesan.

Berita Harian X