Rabu, 18 April 2018 | 9:22pm

Jualan kenderaan bulan Mac meningkat

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan baharu meningkat 23.3 peratus atau 9,045 unit berbanding bulan sebelumnya kepada 49,985 pada bulan Mac, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Bagaimanapun, angka itu adalah tujuh peratus, atau 3,733 unit lebih rendah berbanding 53,718 unit yang dijual pada bulan sama tahun lalu.

MAA berkata, jualan pada Mac adalah disumbangkan oleh bulan bekerja lebih panjang selain penghantaran dipercepatkan oleh syarikat memandangkan tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2018.

Persatuan itu menjangkakan jumlah jualan akan kekal pada April kerana pengguna mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

Secara keseluruhan, ia mengunjurkan jumlah jualan 2.3 peratus lebih tinggi kepada 590,000 unit tahun ini.

Bagi tiga bulan pertama tahun ini, jumlah jualan susut kepada 135,140 unit berbanding 140,840 unit setahun lalu.

Daripada jumlah jualan keseluruhan Mac, 44,489 adalah kenderaan penumpang, manakala baki 5,496 unit adalah kenderaan komersial.

Jumlah pengeluaran bagi berkenaan adalah 49,796 unit, meningkat daripada 49,356 unit setahun lalu.

Output tiga bulan meningkat kepada 156,214 unit daripada 130,015 unit sebelumnya.

Berita Harian X