Khamis, 5 April 2018 | 12:51pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) menerima replika '2018 Survey of American Investment in E&E Sector' oleh Pengerusi Malaysian American Electronics Industry (MAEI) Wong Siew Hai (kanan) pada APCAC Business Summit 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.- Foto BERNAMA
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) menerima replika '2018 Survey of American Investment in E&E Sector' oleh Pengerusi Malaysian American Electronics Industry (MAEI) Wong Siew Hai (kanan) pada APCAC Business Summit 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.- Foto BERNAMA

Sektor E&E AS sumbang RM1b cukai

KUALA LUMPUR: Sektor elektrik dan elektronik (E&E) kekal menjadi sektor ekonomi utama bagi pelabur Amerika Syarikat (AS) di Malaysia apabila operasi mereka dalam sektor itu menyumbang RM1 bilion setahun kepada pendapatan cukai negara.

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM), Siobhan M Das, berkata 24 syarikat AS berkenaan bukan sahaja komited malah merancang meningkatkan pelaburan dan dagangan di negara ini pada masa depan.

"Malaysia dilihat sebagai destinasi menarik dan menjadi lokasi pilihan sebagai hab serantau dan pengembangan syarikat AS.

"Pelaburan AS dalam sektor E&E Malaysia bukan saja kekal mampan dan berdaya tahan, malah pelaburan bernilai tinggi ini mempunyai kelebihan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia di samping mencipta peluang pekerjaan dan pelaburan langsung asing (FDI)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pembentangan Laporan Kajian Sektor E&E: Firma AS Tingkatkan Pelaburan di Malaysia di sini, hari ini.

Laporan kajian itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hadir sama, Gabenor AMCHAM yang juga Pengerusi Industri Elektronik Amerika Malaysia (MAEI), Datuk Wong Siew Hai.

Mengulas lanjut, Siobhan berkata, jumlah pelaburan oleh firma E&E AS di negara ini mencecah RM42 bilion setakat ini.

"Kebanyakannya tertumpu di Pulau Pinang selain kehadiran yang kukuh di Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, jumlah dagangan lebihan barangan sekurang-kurangnya RM19.5 bilion, dengan menyumbang sekitar 20 peratus daripada lebihan dagangan antarabangsa keseluruhan negara bagi 2017.

Katanya, sebanyak 24 firma E&E AS berkenaan menyediakan 80,000 peluang pekerjaan di Malaysia, termasuk 16,500 jurutera mahir dan 5,700 kakitangan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta 6,200 tenaga kerja.

"Kira-kira 99 peratus tenaga kerja di syarikat ini adalah rakyat tempatan dan sekurang-kurangnya 300 perusahaan kecik dan sederhana (PKS) menyokong pertumbuhan sektor ini menerusi program pembangunan vendor," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X