Rabu, 4 April 2018 | 7:26pm
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros pada sidang media MIHAS 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros pada sidang media MIHAS 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

MIHAS lonjak Malaysia sebagai peneraju hab halal dunia

KUALA LUMPUR: Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) mampu melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dan hab bagi sektor halal dunia, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Islam sedunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, berkata MIHAS adalah pameran dagangan halal terbesar dunia yang memberi tumpuan kepada tujuh bidang utama bagi industri halal.

Beliau berkata, halal bukan hanya tertumpu kepada produk makanan dan minuman, namun ia adalah bersifat menyeluruh termasuklah perkhidmatan seperti kewangan, logistik, pelancongan, kosmetik dan farmaseutikal.

"Malah, pada penganjuran MIHAS pada tahun ini, kami ingin memberi penekanan kepada kepentingan sektor lain yang berpotensi terhadap pembangunan sektor halal dunia.

"Fokus seperti segmen e-dagang membuka lebih banyak peluang dan ruang perbincangan dalam menyampaikan perkhidmatan yang diyakini di samping teknologi untuk mempertingkat kualiti bagi operasi penghasilan produk yang disahkan halal," katanya pada sidang media MIHAS 2018 di sini, hari ini.

MIHAS yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula hari ini hingga 7 April dan tahun ini adalah penganjurannya yang ke-15 dengan penyertaan lebih 760 syarikat dalam dan luar negara.

Selain pameran, MIHAS 2018 turut menyediakan aktiviti seperti Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), Matrade Trade Talk, MyPitch@MIHAS, Simposium Ekosistem Gelatin Halal, Persidangan Pembiayaan Dagangan Halal, Persidangan Kembara Halal, Zon Industri dan MIHAS Connect.

Mohd Shahreen berkata, kali ini juga MATRADE turut menampilkan Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia dari pasaran halal utama berpotensi tinggi bagi berkongsi mengenai prospek pasaran, trend dagangan, cabaran dan peluang eksport.

Katanya, antara pasaran utama itu adalah Jepun, Kazakhstan, China, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mempunyai potensi eksport halal yang memberangsangkan bagi syarikat tempatan.

"Sebagai contoh, melalui MIHAS kita berjaya tembusi pasaran Kazakhstan yang dapat meningkatkan peluang eksport halal dengan pasaran Asia Tengah yang mempunyai majoriti penduduk Muslim seperti Uzbekistan, Turkmenistan dan Tajikistan," katanya.

Sementara itu, tahun lalu, eksport produk halal Malaysia ke Jepun berkembang sebanyak 49.7 peratus kepada RM2.82 bilion, manakala eksport ke UAE tumbuh 60.3 peratus kepada RM875.8 juta serta unjuran positif bagi pasaran China.

Berita Harian X