Rabu, 4 April 2018 | 10:42am
TRUMP. - Foto EPA

Trump menyemarak kemarahan China

WASHINGTON: Pentadbiran Trump menyemarakkan lagi ketegangan perdagangan dengan China apabila mengumumkan tarif 25 peratus ke atas 1,300 teknologi perindustrian, pengangkutan dan produk perubatan bagi memberi tekanan ke atas Beijing untuk membuat perubahan dalam dasar berkaitan harta intelek.

Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) mendedahkan senarai, kebanyakannya produk bukan pengguna, dengan anggaran import kira-kira AS$50 bilion yang pastinya akan memberi kesan kepada rantaian bekalan pengilang di AS.

Senarai itu merangkumi daripada kimia hingga ke peti TV, kenderaan bermotor dan komponen elektronik.

Penerbitan senarai tarif itu akan disusuli ulasan orang awam dan perundingan selama dua bulan, yang mana selepas itu USTR akan mengeluarkan 'kesungguhan muktamad' ke atas senarai produk itu.

Tarif itu akan dibentang kepada umum pada 15 Mei.

Pengumuman itu segera mendapat reaksi keras kedutaan China di Washington.

Kementerian Perdagangan China berkata, ia akan mengambil langkah mengambil langkah pada skala dan kekuatan sama ke atas produk AS.

"Kami memiliki keyakinan dan keupayaan untuk membalas kepada mana-mana langkah perlindungan oleh AS," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik agensi berita rasmi Xinhua.

Kementerian itu tidak mendedahkan langkah tindak balas yang akan diambil, tetapi ahli ekonomi berpandangan sasaran utama ialah import kacang soya, pesawat dan mesin. - Reuter

Berita Harian X