Selasa, 3 April 2018 | 6:48pm
KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri J Jayasiri. - Foto Owee Ah Chun
KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri J Jayasiri. - Foto Owee Ah Chun

CPTPP berkuatkuasa selepas disahkan enam negara

KUALA LUMPUR: Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan berkuatkuasa 60 hari selepas enam daripada 11 negara yang menyertainya mengesahkannya, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri J Jayasiri.

Katanya, keenam-enam negara berkenaan juga mesti mempunyai keluaran dalam negara kasar (KDNK) terkumpul sekurang-kurangnya 50 peratus daripada KDNK kesemua penandatangan.

"CPTPP tidak menetapkan tempoh masa untuk negara penandatangan mengesahkannya, tetapi kita sedang cuba untuk melaksanakannya secepat mungkin," katanya kepada pemberita di luar Seminar Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia berkenaan CPTPP, di sini, hari ini.

Katanya, untuk Malaysia mengesahkan perjanjian itu, ia perlu meminda 18 lagi Akta, antaranya berkaitan buruh, harta intelek dan prosedur kastam

Jayasiri berkata, kebanyakan pindaan sudah dilakukan dan akan disemak semula oleh Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen.

Bulan lalu, 11 negara iaitu Malaysia, Jepun, Singapura, Vietnam, Australia, New Zealand, Kanada, Brunei, Mexico, Chile dan Peru menandatangani perjanjian itu dengan syarat yang lebih baik.

Semua 11 negara berkenaan adalah peserta asal Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengeluarkan negaranya daripada TPP pada Januari tahun lalu, bagaimanapun dilaporkan berkata, bahawa beliau akan menimbang semula keputusan itu jika AS boleh mengadakan perjanjian yang jauh lebih baik.

Jayasiri yang juga Ketua Perunding Malaysia untuk CPTPP, tidak optimis dengan kemungkinan AS menyertai perjanjian perdagangan mega itu, kerana perjanjian itu sudah menangguhkan 22 peruntukan yang menyebelahi AS di dalam TPP.

"Peruntukan ini, termasuk harta intelek dan farmaseutikal, adalah penting kepada mereka," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X