Isnin, 26 March 2018 | 3:49pm
MOHD Shahreen (tiga dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian rakan penaja pada sidang media Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
MOHD Shahreen (tiga dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian rakan penaja pada sidang media Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Lebih 800 syarikat tempatan, antarabangsa sertai MIHAS 2018

KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2018 terus mendapat perhatian pemain industri halal tempatan dan luar negara yang mana lebih dari 800 syarikat menyertainya tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, berkata penganjuran kali ke-15 itu menyaksikan sebanyak 37 peratus penyertaan syarikat luar dari 41 negara.

Beliau berkata, antara enam negara utama dengan tapak pavilion negara terbesar pada pameran halal akan datang itu ialah India, Thailand, Indonesia, Taiwan, Iran dan China.

"Penyertaan itu membuktikan industri halal semakin berkembang pesat dan Malaysia terus menjadi peneraju bagi pembangunan sektor terbabit dengan pelbagai kemajuan dan inovasi.

"Sebagai pameran halal terbesar dunia, MIHAS akan terus memimpin dan membantu industri dengan membantu perniagaan dan pelaburan dalam sektor halal di peringkat dunia," katanya pada majlis pelancaran MIHAS 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MATRADE, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Pengarah Halal, F&B dan Unit Agro MATRADE, Mohd Aminuddin Sham Tajudin.

Mohd Shahreen berkata, sejak penganjuran pertamanya pada 2004, MIHAS berjaya menarik kira-kira 6,500 syarikat dari 70 negara dengan transaksi jualan mencecah sehingga RM14 bilion.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan MIHAS 2018 mampu mencapai peningkatan dalam transaksi jualan antara lima hingga tujuh peratus berbanding RM1.01 bilion tahun lalu.

Selain itu, katanya, penganjuran kali ini juga mempunyai kluster kewangan Islam yang akan memberi manfaat kepada kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor halal dalam negara.

"Golongan PKS berpeluang untuk mengakses maklumat secara langsung dan berpotensi untuk berkerjasama dengan pemain industri terkemuka, khususnya mengenai kewangan Islam.

"Bagi penyedia kewangan, mereka juga dapat melihat pelbagai perspektif mengenai produk dan perkhidmatan halal yang ditawarkan di negara ini," katanya.

MIHAS 2018 yang dianjurkan oleh MATRADE bakal diadakan pada 4 hingga 7 April ini di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bersempena dengan Minggu Halal Dunia (WHC) 2018 yang berlangsung pada 26 Mac hingga 7 April ini.

Berita Harian X