Khamis, 22 March 2018 | 10:05pm
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Datuk Seri Ong Ka Chuan (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud di Forum Industri Perindustrian, Subang. - Foto Rohanis Shukri
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Datuk Seri Ong Ka Chuan (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud di Forum Industri Perindustrian, Subang. - Foto Rohanis Shukri

Malaysia tarik pelaburan minyak dan gas RM1.8 bilion

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mempunyai pelaburan dalam projek berkaitan minyak dan gas bernilai RM1.8 bilion dalam perancangan bagi tempoh tiga bulan pertama 2018, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud.

Katanya, ia menunjukkan Malaysia terus menjadi lokasi strategik bagi pemain industri minyak dan gas.

"Pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) akan menarik pelaburan masa depan dalam industri, terutamanya bagi memenuhi permintaan untuk pemeriksaan, penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih, serta perkhidmatan pusing ganti loji bagi sejumlah besar loji, mesin dan peralatan di dalamnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, tahun lalu, agensi itu meluluskan satu lagi projek bagi Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), kompleks penapisan dan petrokimia bersepadu tinggi, yang bakal menaikkan status Malaysia sebagai peneraju global dalam industri produk petrokimia.

Ia adalah sebahagian daripada PIPC seluas 8,903 hektar dengan pelaburan semasa yang diluluskan berjumlah AS$27.2 bilion (RM106.45 bilion).

Apabila siap kelak, PIC akan menyediakan 4,000 peluang pekerjaan kepada negara.

Beliau berkata, MIDA terus bekerjasama dengan pemegang kepentingan untuk membangunkan prasarana dan kemudahan sokongan dalam sektor perkhidmatan minyak dan gas.

Ini termasuk Pangkalan Bekalan Tok Bali yang dijangka melengkapkan pangkalan bekalan lain di negara ini dan menawarkan kelebihan kos bagi aktiviti penerokaan di luar pantai Pantai Timur.

"Meskipun dengan perkembangan ini, industri minyak dan gas masih berdepan cabaran seperti keadaan pasaran yang tidak menentu dan perubahan corak penggunaan.

"Kerjasama dan perbincangan secara kerap antara pengendali, penyedia perkhidmatan dan pemegang kepentingan kerajaan yang relevan adalah penting untuk menangani cabaran ini.

"Kerajaan juga menggalakkan pemain industri tempatan untuk banyak melabur dalam teknologi dan inovasi untuk meningkatkan daya saing dan kemampanan bagi mengurangkan kos operasi, meningkatkan kecekapan dan prestasi.

"Ini termasuk pemantauan jauh, pemusatan fungsi-fungsi pekerjaan tertentu dan analisis ramalan bagi operasi mereka," jelas Azman.

Sementara itu, agensi berkenaan ketika ini terbabit dalam Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia (OTC) yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Acara itu adalah sebahagian daripada usaha promosi MIDA dalam menyediakan maklumat secara terus mengenai rancangan Malaysia untuk menjadi hab Asia Pasifik bagi industri minyak dan gas.

Persidangan itu menarik lebih 3,000 perniagaan minyak dan gas terdiri daripada syarikat minyak dan perkhidmatan dan pembuatan yang menyokong keperluan rantaian nilai minyak dan gas di peringkat tempatan dan serantau.

Antara pemain utama global yang menyertai persidangan itu ialah TechnipFMC, Aker Solutions, Halliburton, Cameron International dan Schlumberger.

-BERNAMA

Berita Harian X