Selasa, 20 March 2018 | 6:05pm
ABDUL Rahman bersama Wan Zulkiflee (dua dari kiri) melawat pameran pada Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
ABDUL Rahman bersama Wan Zulkiflee (dua dari kiri) melawat pameran pada Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

RAPID terima pelaburan AS$7 bilion akhir Mac

KUALA LUMPUR: Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) akan menerima pelaburan berjumlah AS$7 bilion (RM27.4 bilion) daripada Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) akhir bulan ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata kemasukan pelaburan itu susulan muktamadnya rundingan antara syarikat petroleum Arab Saudi dan PETRONAS. 

"Ini berita yang sangat istimewa dan menarik, yang mana rundingan sudah menjadi kenyataan dan RAPID akan menerima pelaburan Saudi Aramco akhir bulan ini," katanya kepada media selepas selepas merasmikan Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia (OTC) di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; serta Pengerusi Lembaga OTC yang juga Pengerusi TOTAL Kuwait, Wafik Beydoun. 

Pada Mac tahun lalu,  PETRONAS dan Saudi Aramco memeterai Perjanjian Pembelian Saham (SPA) bagi membolehkan syarikat minyak Arab Saudi itu membeli sebahagian ekuiti dalam aset RAPID. 

Menerusi perjanjian bernilai AS$7 bilion itu, kedua-dua syarikat akan memiliki pegangan ekuiti sama rata ke atas beberapa projek dan aset penapisan minyak, loji perekah dan kemudahan petrokimia RAPID dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC). 

Projek RAPID adalah sebahagian daripada Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) yang membabitkan pelaburan keseluruhan mencecah AS$27 bilion yang dibangun dan dikendalikan PETRONAS. 

Ia bakal menjadi hab industri minyak dan gas hiliran serantau serta membuka era baharu pembangunan ekonomi dan teknologi di rantau Asia. 

Hubungan strategik Perkongsian antara Saudi Aramco dan PETRONAS menandakan permulaan hubungan strategik dan membawa manfaat kepada kedua-dua syarikat, sekali gus memberi sokongan kukuh dan sinergi kepada RAPID. 

Di bawah perkongsian itu juga, Saudi Aramco akan membekalkan sehingga 70 peratus keperluan minyak mentah bagi loji penapisan RAPID, manakala gas asli, tenaga dan utiliti lain akan dibekalkan PETRONAS. 

Suntikan pelaburan Saudi Aramco juga  berupaya mengurangkan beban perbelanjaan modal PETRONAS dalam membangunkan PIC. 

Sementara itu, dalam ucapan perasmian,  Abdul Rahman berkata, Malaysia memperuntukkan RM15 bilion bagi pembangunan dan pelaksanaan inisiatif pertumbuhan hijau bagi tempoh lima tahun akan datang. 

Katanya, ia selaras dengan komitmen kerajaan menjadi sebahagian daripada transisi global ke arah menjadi ekonomi berdaya tahan menjelang 2050.  "

Agenda pertumbuhan hijau, pembangunan teknologi mampan dan rendah emisi adalah untuk melindungi alam sekitar dan penyumberan sekali gus menjadi pengubah landskap ekonomi Malaysia," katanya.

Info:

AS$27 bilion - Jumlah pelaburan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC)

Berita Harian X