Selasa, 20 March 2018 | 2:57pm
(DARI kiri) Pengerusi UBM Malaysia, Tan Sri Datuk Dr Ahmad Mustaffa Babjee; Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Naib Presiden UBM Asia, M. Gandhi pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahi,

'Livestock Asia' sasar transaksi RM160j

KUALA LUMPUR: Ekspo dan forum ternakan 'Livestock Asia 2018' menyasar transaksi perniagaan sebanyak RM160 juta pada edisi kesembilan penganjurannya bermula 19 hingga 21 April depan.

Acara yang dianjurkan oleh UBM Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu mencatat transaksi perniagaan sebanyak lebih RM130 juta dua tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Naib Presiden UBM Asia, M. Gandhi berkata tahun ini, seramai lebih 200 pempamer akan mengambil bahagian.

"Mereka terdiri daripada pengeluar terkemuka di peringkat tempatan dan global seperti Pristine, Poullive, CAB Cakaran, QSR Brand, Behn Meyer, Biomin, Evonik dan banyak lagi.

"Acara ini juga dijangka menarik kunjungan lebih 7,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa dan mereka terdiri daripada ahli veterinar, penternak haiwan dan petani, pembekal, pemborong, pengimport dan juga pengedar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dan Pengerusi UBM Malaysia, Tan Sri Datuk Dr Ahmad Mustaffa Babjee.

Mengulas lanjut, Gandhi berkata dua lagi ekspo dan forum iaitu Asia Meatec 2018 dan Aquaculture Asia 2018 akan diadakan serentak dengan acara berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Katanya, 'Livestock Asia 2018' akan menjadi platform perniagaan bagi syarikat antarabangsa untuk mempamerkan produk sedia ada dan melancarkan produk baharu mereka.

"Seperti tahun-tahun sebelum ini, acara kali ini juga menarik pempamer dari lebih 20 buah negara termasuklah China, Jerman, Itali, Jepun, Korea, Rusia, Singapura, Taiwan, Belanda, Turki dan pelbagai lagi.

"Ini akan menyediakan pengunjung dengan perspektif antarabangsa mengenai aliran baru muncul di samping menyediakan penyelesaian terbaharu bagi cabaran perniagaan pada masa ini," katanya.

INFO:

*UBM juga akan menganjurkan sesi pemadanan perniagaan bagi memastikan pengunjung dan pempamer mendapat manfaat sepenuhnya dari acara ini.

ends

Berita Harian X