Jumaat, 9 March 2018 | 12:40pm
DATUK Seri Mustapa Mohamed ketika sidang akhbar selepas menghadiri Dialog Pembangunan Insan di Malaysia, hari ini. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Mustapa Mohamed ketika sidang akhbar selepas menghadiri Dialog Pembangunan Insan di Malaysia, hari ini. - Foto BERNAMA

CPTPP penting untuk majukan negara - Mustapa

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal mendapat manfaat daripada akses pasaran ke negara seperti Kanada, Peru dan Mexico menerusi pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) meskipun tanpa kehadiran Amerika Syarikat (AS).

Penyertaan negara dalam perjanjian itu juga akan memberi manfaat dari segi meningkatkan tadbir urus dalam beberapa sektor ekonomi, memperkukuhkan kerjasama ekonomi di kalangan negara anggota dan mempromosikan penggunaan piawaian antarabangsa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata Malaysia percaya bahawa CPTPP akan membantu negara ini untuk terus mempromosikan agenda perdagangan dan pelaburan serta mengurangkan cabaran persekitaran ekonomi global.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, Malaysia mendapat manfaat daripada perjanjian perdagangan era baharu itu dengan membuka pintu kepada lebih banyak syarikat tempatan untuk memperluaskan kehadiran mereka di luar negara serta mengukuhkan kedudukan negara ini sebagai destinasi pelaburan utama.

"Justeru itu, ia akhirnya akan mewujudkan pekerjaan berkualiti tambahan untuk rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia pada umumnya akan mendapat manfaat daripada peningkatan pilihan pengguna terhadap barangan dan perkhidmatan di pasaran tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

Mustapa berkata, Malaysia juga sudah mula mengambil langkah yang perlu untuk meminda undang-undang yang berkaitan bagi menyelesaikan proses pengesahan dan membolehkan pelaksanaan CPTPP secepat mungkin.

Beliau berkata, sebagai salah satu negara anggota perintis yang berjaya merundingkan perjanjian itu dengan terma yang dimahukan negara, Malaysia tidak boleh melepaskan peluang untuk merebut manfaat CPTPP dan usaha untuk menyelesaikan proses pengesahan harus dipergiatkan.

"Dengan muktamadnya CPTPP, MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan rakan-rakan kami dari kementerian dan agensi lain kini akan memusatkan perhatian kami untuk menyelesaikan rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

"Pada pandangan kami, CPTPP dan RCEP akan berfungsi sebagai pembangunan ke arah rejim perdagangan dan pelaburan yang lebih terbuka dan adil di rantau Asia Pasifik," katanya.

Mustapa berkata, pemeteraian CPTPP adalah tepat pada masanya kerana ia memberi isyarat yang kukuh komitmen ke arah sistem perdagangan terbuka dan liberal.

Beliau berkata, apa yang dikehendaki dunia kini adalah lebih banyak aliran perdagangan dan pelaburan dan tidak terhad kepada pasaran.

Malaysia dan 10 negara Asia Pasifik lain, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam memeterai CPTPP di Santiago, semalam.

CPTPP dimuktamadkan pada 23 Januari 2018 di Tokyo, Jepun selepas lapan pusingan rundingan yang bermula pada awal 2017 di peringkat Menteri dan Pegawai Kanan.

Menteri CPTPP berkongsi pandangan bahawa, dengan mencapai hasil yang tinggi dan seimbang, perjanjian itu akan memperkukuhkan hubungan yang saling menguntungkan di kalangan ekonomi yang mengambil bahagian, meningkatkan perdagangan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi di Rantau Asia Pasifik, dan mewujudkan peluang-peluang baru untuk perniagaan, pengguna dan pekerja.

Berita Harian X