Jumaat, 9 March 2018 | 11:50am
Lim Hng Kiang. - Foto Reuters
Lim Hng Kiang. - Foto Reuters

CPTPP lengkapkan rantaian perjanjian perdagangan Singapura

SINGAPURA: Perjanjian komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang ditandatangani di Santiago, Chile awal pagi ini, akan melengkapkan perjanjian perdagangan bebas dua hala sedia ada di Singapura, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI).

Menurut MTI, sebagai perjanjian serantau utama, CPTPP akan mengembangkan ruang ekonomi Singapura, meningkatkan perdagangan dan aliran pelaburan, memudahkan syarikat negara itu menjalankan perniagaan di rantau ini, selain membuka peluang pembangunan ekonomi.

"Pemeteraian CPTPP itu membuktikan komitmen padu negara terlibat kepada matlamat kolektif liberalisasi perdagangan yang lebih besar, integrasi ekonomi serantau, dan peluang yang lebih baik untuk rakyat," kata Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura, Lim Hng Kiang dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menandatangani CPTPP bagi pihak Singapura.

"Ini adalah langkah penting ke arah merealisasikan manfaat perjanjian. Syarikat Singapura akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan dan meningkatkan akses pasaran di Asia Pasifik.

"Meneurusi standard dan peraturan perdagangan yang memudahkan ini, CPTPP menyediakan standard baharu serantau bagi perjanjian perdagangan bebas pada masa akan datang. Singapura menyambut baik pelaksanaannya," katanya.

Kenyataan itu menyebut negara terbabit akan melaksanakan proses pengesahan masing-masing, bagi pelaksanaan segera perjanjian berkenaan.

CPTPP merangkumi 11 anggota iaitu Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Menurut MTI, CPTPP menggabungkan semua komitmen daripada TPP asal, kecuali sejumlah peruntukan yang terhad, yang telah digantung sementara.

Rundingan mengenai CPTPP dimuktamadkan pada Januari 2018 di Tokyo, Jepun.

Perjanjian itu akan memperkukuh perdagangan sesama negara anggota di Asia Pasifik, menerusi pemansuhan sebahagian besar tarif dan halangan bukan tarif ke atas barangan, akses yang lebih baik untuk pembekal perkhidmatan dalam pelbagai sektor, memudahkan pelaburan yang lebih besar, meningkatkan akses kepada kontrak perolehan kerajaan selain peraturan moden untuk menangani cabaran perdagangan yang baharu.

CPTPP terbuka dan terangkum, dengan pintu terbuka untuk pihak lain yang berminat untuk bergabung, apabila ia dikuatkuasakan, kata MTI. -BERNAMA

Berita Harian X