Jumaat, 9 March 2018 | 10:12am

Malaysia pemenang terbesar CPTPP:Moody's

SINGAPURA: Malaysia adalah pemenang terbesar daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) kerana perjanjian itu menyediakan lebihan eksport ke pasaran baharu, demikian menurut Moody's Investors Service.

Agensi penarafan antarabangsa itu berkata, pasaran baharu berkenaan termasuk Kanada, Peru dan Mexico; sekali hus memberi manfaat kepada pengeksport sawit, getah dan elektronik.

Dalam satu kenyataan hari ini, Moody's berkata bahawa keuntungan ekonomi bagi anggota CPTPP terbukti lebih kecil tanpa penyertaan Amerika Syarikat (AS), namun perjanjian perdagangan itu masih lagi dapat mengukuhkan eksport dan pendapatan semua anggota, selain membantu mengekalkan usaha pembaharuan di beberapa negara.

Ia berkata demikian dalam laporan bertajuk "Sovereigns -- Asia Pacific and Americas: Revised Trans-Pacific Partnership benefits all members, but less so without the US". (Kedaulatan -- Asia Pasifik dan Amerika: Perjanjian Trans-Pasifik Disemak Semula memberi manfaat semua anggota, namun kecil tanpa AS".)

Awal pagi ini, baki 11 negara TPP memeterai perjanjian perdagangan bebas itu di Santiago, Chile tanpa penyertaan AS.

Perjanjian dinamakan semula sebagai CPTPP, dengan anggota terdiri daripada Australia (penarafan Aaa stabil), Brunei (tidak ditarafkan), Canada (Aaa stabil), Chile (Aa3 negatif), Japan (A1 stabil), Malaysia (A3 stabil), Mexico (A3 negatif), New Zealand (Aaa stabil), Peru (A3 stabil), Singapura (Aaa stabil) dan Vietnam (B1 positif).

Berita Harian X