Khamis, 8 March 2018 | 9:35pm
GAMBAR fail: Menteri perdagangan dan delegasi daripada negara anggota Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri TPP ketika APEC 2017 di Da Nang, Vietnam. - Foto Reuters
GAMBAR fail: Menteri perdagangan dan delegasi daripada negara anggota Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri TPP ketika APEC 2017 di Da Nang, Vietnam. - Foto Reuters

CPTPP dimeterai 11 negara awal pagi ini

SANTIAGO: Sebelas negara awal pagi ini akan memeterai perjanjian perdagangan penting Asia Pasifik di Santiago, Chile, bagi mengimbangi pendirian perlindungan oleh Amerika Syarikat (AS), yang menarik diri daripada pakatan itu tahun lalu.

Majlis memeterai perjanjian itu diadakan sehari selepas Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggesa Presiden AS, Donald Trump supaya menghentikan "perang perdagangan" yang dicetuskan oleh rancangan untuk mengenakan duti ke atas import keluli dan aluminium.

Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan mengurangkan tarif di negara terbabit yang secara bersama menguasai lebih daripada 13 peratus ekonomi global, yang keseluruhan berjumlah AS$10 trilion.

Jika AS terbabit, ia sepatutnya merangkumi 40 peratus ekonomi dunia.

Walaupun tanpa penyertaan AS, pakatan itu merangkumi pasaran hampir 500 juta penduduk, menjadikannya satu daripada tiga perjanjian perdagangan terbesar dunia, demikian menurut perangkaan perdagangan Chile dan Kanada.

Perjanjian 12 negara anggota asal, dikenali sebagai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), kelihatannya tidak menjadi kenyataan awal tahun lalu apabila Trump menarik diri daripada pakatan itu, tiga hari selepas pelantikannya dalam usaha melindungi pasaran pekerjaan di negaranya.

Baki 11 negara lain, dipimpin oleh Jepun dan Kanada, memuktamadkan pakatan perdagangan yang disemak semula Januari lalu.

Trump juga mengancam untuk membatalkan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara, melainkan dua lagi anggota pakatan, Kanada dan Mexico bersetuju kepada beberapa peruntukan yang dikatakannya boleh mengukuhkan sektor pengeluaran dan pasaran pekerjaan AS.

Beliau mempertikaikan bahawa pakatan tahun 1994 itu menyebabkan pemindahan pekerjaan dan kilang ke Mexico, yang mempunyai kos lebih rendah.

Perjanjian yang disemak semula itu, yang akan dimeterai pada jam 3 petang waktu tempatan (2 pagi di Malaysia), menyingkirkan beberapa perkara yang diminta oleh perunding AS dalam TPP asal.

Ia termasuklah peraturan membabitkan perlindungan hak intelek farmaseutikal, yang dibimbangi kerajaan dan aktivis negara anggota lain, akan meningkatkan kos ubat-ubatan.

-Reuters

Berita Harian X