Selasa, 6 March 2018 | 6:46pm
Pengarah Godrej International Ltd, Dorab Mistry berucap pada Pameran dan Persidangan Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik ke-29 (POC 2018) di Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Pengarah Godrej International Ltd, Dorab Mistry berucap pada Pameran dan Persidangan Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik ke-29 (POC 2018) di Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Minyak sawit diunjur cecah RM2,700 satu tan

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit dijangka meningkat secara berperingkat kepada RM2,700 satu tan daripada RM2,500 ketika ini berikutan jumlah simpanan yang kecil di Indonesia dan Malaysia, kata Pengarah Godrej International Ltd, Dorab Mistry.

"Kita tidak boleh bersikap pesimis terhadap harga minyak sayuran, tahun ini," katanya kepada lebih daripada 2,000 delegasi termasuk peniaga minyak sayuran pada Pameran dan Persidangan Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik ke-29 (POC 2018) di sini, hari ini.

"Saya melihat kenaikan berperingkat harga minyak sawit daripada RM2,500 kepada RM2,700 satu tan menjelang Jun 2018, memandangkan stok di Indonesia dan Malaysia semakin mengecil," tambahnya.

Beliau menganggarkan simpanan di Indonesia dan Malaysia berkemungkinan berada kurang daripada 4.5 juta tan menjelang Jun ini, jauh lebih rendah daripada 4.9 juta tan pada Jun tahun lalu.

Sejak awal tahun ini hingga sekarang, niaga hadapan sawit di Bursa Malaysia Derivatives secara purata berada pada RM2,500 satu tan.

Mengenai langkah India mengenakan cukai import lebih tinggi ke atas sawit baru-baru ini, Mistry menjangkakan ia hanya bersifat sementara.

"Kerajaan (India) akan mengurangkan duti ke atas sawit sebanyak 10 hingga 34 peratus, justeru melebarkan lagi spred berbanding olein yang ditapis, diluntur dan ditambah bau, bagi meningkatkan lagi aktiviti penapisan di India.

"Saya menjangkakan, menjelang Mei ini, kerajaan India akan melaksanakan langkah rasionalisasi bagi mengurangkan duti ke atas sawit untuk mengurangkan tekanan inflasi ke atas pengguna," tambahnya.

Ia kenaikan keempat India ke atas cukai import sawit, dalam tempoh kurang daripada enam bulan.

Langkah itu meningkatkan harga tanaman benih minyak sayuran tempatan, yang memberi manfaat kepada pekebun di negara itu.

India secara umumnya mengimport minyak sawit dari Indonesia dan Malaysia.

Berita Harian X