Jumaat, 2 March 2018 | 6:20pm
MENTERI Kewangan Myanmar Kyaw Win, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Mustapa Mohamed, Setiausaha Tetap Perdagangan dan Industri Singapura Loh Khum Yean, Setiausaha Perdagangan dan Industri Filipina Ramon Lopez, Menteri Perindustrian dan Perdagangan Vietnam Tran Quoc Khanh, Pesuruhjaya Eropah untuk Perdagangan Cecilia Malmstrom, Pengerusi Menteri Ekonomi ASEAN dan Menteri Perdagangan Singapura Lim Hng Kiang, Setiausaha Tetap Thai untuk Perdagangan Chutima Bunyapraphasara, Menteri Perdagangan Brunei Erywan Pehin Yusof, Menteri Perdagangan Kemboja Pan Sorasak, Menteri Perdagangan Indonesia Enggartiasto Lukita, Menteri Lao Industri dan Perdagangan Khemmani Pholsena, dan Setiausaha Agung ASEAN, Lim Jock Hoi berpose untuk satu gambar di hadapan Konsultasi Pesuruhjaya Kesatuan Eropah Menteri-Menteri Ekonomi ke-16 di Shangri-La Hotel di Singapura. - Foto EPA

Rundingan semula TPP dengan AS bukan satu pilihan

SINGAPURA: Sebarang langkah untuk merunding semula perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dengan Amerika Syarikat (AS) akan memerlukan 11 negara lain berkompromi dengan beberapa isu dan akan mengambil masa yang lama, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Merunding semula sudah pasti bukan satu pilihan. Jika kita berbuat demikian, ia akan mengambil masa bertahun-tahun sebelum kita mencapai persetujuan," katanya ketika ditemui di luar Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-24 dan Mesyuarat Berkaitan di sini, hari ini.

Pada 27 Februari lalu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin, dilaporkan berkata negara sedang berbincang untuk menyertai semula perjanjian perdagangan pelbagai hala itu.

Mnuchin berkata, merunding semula perjanjian perdagangan itu adalah satu pilihan dan beliau telah mengadakan perbincangan dengan negara lain bagaimana AS meneliti semula tindakannya.

Presiden AS, Donald Trump menarik diri daripada TPP pada Januari 2017, dengan menyatakan ia perjanjian yang tidak memberi faedah kepada negara itu, menyebabkan 11 negara lain melakukan rundingan semula di peringkat masing-masing.

TPP yang dianggotai 11 negara kemudian mencapai persetujuan yang dikenali sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang dijangka ditandatangani pada 8 Mac ini di Chile.

"TPP yang dianggotai 12 negara sebelum ini mengambil masa bertahun-tahun untuk berunding dan hanya pada Oktober 2015 kami memuktamadkan rundingan," kata Mustapa.

"Jika tanya saya, kita telah mencatat kemajuan yang ketara...kita sudah menghabiskan banyak masa untuk merundingkan perjanjian (baharu). Kita sudah mencapai perjanjian yang seimbang - hasil yang seimbang. Sebaik sahaja kita patah balik, imbangan kos dan faedah akan berubah," katanya.

Pada bulan lalu di Davos, Trump memberi isyarat mengenai kesediaan beliau untuk membuka semula perbincangan perdagangan jika AS boleh mendapat perjanjian yang lebih baik.

Katanya, beliau bersedia untuk berunding semula dengan 11 negara TPP "secara berasingan, atau mungkin sebagai kumpulan, jika ia untuk kepentingan semua."

Negara anggota TPP adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Mustapa mengumumkan Ketua Perunding Datuk Seri J. Jayasiri, yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, akan mewakili Malaysia pada pemeteraian CPTPP di Santiago.

-BERNAMA

Berita Harian X