Khamis, 22 Februari 2018 | 3:19pm
KETUA Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto Salhani Ibrahim

Produktiviti buruh Malaysia 2017 meningkat

KUALA LUMPUR: Produktiviti buruh Malaysia pada 2017 meningkat 3.6 peratus kepada nilai RM81,039 daripada RM78,244 pada tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata ia selari dengan peningkatan nilai tambah sektor itu pada 5.9 peratus (2016: 4.2 peratus) dan pekerja meningkat 2.2 peratus (2016: 0.7 peratus).

Beliau berkata, produktiviti buruh Malaysia berkembang 3.6 peratus (RM85,031) pada suku keempat 2017 selepas mencatatkan 4.1 peratus (RM82,433) pada suku ketiga 2017.

"Sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan produktiviti buruh 4.8 peratus (S3 2017: 5.2 peratus) pada RM55,490. Nilai ditambah sektor ini meningkat kukuh pada 10.7 peratus (S3 2017: 4.1 peratus) manakala pekerja melonjak kepada 5.6 peratus (S3 2017: -1.1 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, produktiviti buruh bagi sektor perlombongan dan pengkuarian pulih kepada 4.7 peratus (RM1,240,137) daripada pertumbuhan negatif 8.5 peratus pada suku sebelumnya.

Mohd Uzir berkata, nilai ditambah sektor berkenaan merekodkan penurunan marginal sebanyak 0.5 peratus (S3 2017: +3.1 peratus) manakala pekerja turun pada kadar lebih pantas 5.0 peratus (S3 2017: +12.6 peratus).

"Produktiviti buruh sektor pembuatan meningkat 3.6 peratus (S3 2017: 5.1 peratus) pada RM115,434 dengan nilai ditambah meningkat 5.4 peratus (S3 2017: 7.0 peratus) manakala​​ ​​​​​ pekerja meningkat 1.8 peratus (S3 2017:1.7 peratus), katanya.

"Sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan produktiviti buruh 1.4 peratus (S3 2017: 4.8 peratus) pada RM39,967. Pertumbuhan nilai ditambah sektor itu adalah 5.8 peratus (S3 2017: 6.1 peratus) manakala pekerja meningkat 4.3 peratus (S3 2017: 1.2 peratus)," katanya.

Beliau berkata, produktiviti buruh sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus (S3 2017: 3.7 peratus) pada suku keempat 2017 dengan nilai RM76,794.

Nilai ditambah sektor ini pula mencatatkan pertumbuhan 6.2 peratus (S3 2017: 6.5 peratus) manakala​​​​​​​ pekerja meningkat 1.5 peratus (S3 2017: 2.7 peratus), katanya. - BERNAMA

Berita Harian X