Rabu, 21 Februari 2018 | 4:09pm

Jualan kenderaan Januari cecah 44,575 unit

KUALA LUMPUR: Sebanyak 44,575 unit kenderaan dijual pada bulan Januari, susut 92 unit atau 0.2 peratus berbanding 44, 667 unit pada bulan sama tahun lalu.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu kenyataan hari ini berkata daripada jumlah itu, 39,018 unit adalah kenderaan penumpang manakala 5,557 adalah kenderaan komersil.

Katanya, berdasarkan perbandingan bulanan, jualan pada Januari susut 19 peratus atau 10,154 berbanding bulan Disember 2017, yang merekodkan 54,729 unit.

"Kegiatan promosi dan tawaran jualan oleh syarikat kereta pada bulan Disember lalu menyebabkan banyak jualan dapat dihasilkan.

"Bagi bulan ini, jualan dijangka lebih rendah berbanding sebelumnya kerana tempoh kerja yang pendek disebabkan oleh cuti sempena Tahun Baharu Cina," katanya.

Dari segi pengeluaran kenderaan, MAA menjelaskan bulan Januari lalu merekodkan pengeluaran sebanyak 68,002 unit berbanding 45,532 pada bulan sama tahun lalu.

Pada bulan lalu, Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi industri automotif tempatan berkembang 2.3 peratus kepada 590,000 unit tahun ini, berbanding 576,635 unit tahun lalu.

Katanya, ia selari dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi negara lebih tinggi antara lima hingga 5.5 peratu.

Beliau berkata ia disokong oleh pertumbuhan global yang dijangka akan meningkat daripada 3.6 peratus pada 2017 kepada 3.9 peratus tahun ini, mengikut jangkaan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

Berita Harian X