Isnin, 19 Februari 2018 | 3:34pm
KILANG membuat sarung tangan getah di Meru. - Foto Roslin Mat Tahir
KILANG membuat sarung tangan getah di Meru. - Foto Roslin Mat Tahir

Eksport sarung tangan getah Malaysia catat rekod tertinggi

KUALA LUMPUR: Eksport sarung tangan getah di Malaysia tahun lalu mencecah paras tertinggi dalam sejarah, berikutan pemulihan yang berterusan dalam pertumbuhan dan permintaan dunia.

Bagi 2017, eksport meningkat dari tahun ke tahun dengan kadar 19.4 peratus iaitu RM 15.9 bilion berbanding RM13.3 bilion bagi 2016.

Pada masa ini, Malaysia adalah pembekal terbesar dunia bagi sarung tangan getah dengan lebih 60 peratus penguasaan dalam pasaran dunia dari segi kuantiti.

China adalah salah satu pasaran eksport yang paling pesat berkembang dengan nilai eksport ke China mencecah RM906.9 juta pada tahun 2017 berbanding RM362.2 juta pada 2016, mencatatkan pertumbuhan cemerlang sebanyak 250 peratus.

Selain China, eksport sarung tangan getah Malaysia ke Jerman dan Jepun juga meningkat masing-masing kepada RM1.26 bilion dan RM1.1 bilion berbanding RM1.08 bilion dan RM820 juta pada 2016.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) masih kekal sebagai pasaran terbesar Malaysia bagi sarung tangan getah dengan pertumbuhan sebanyak 24 peratus dan nilai eksport mencecah RM5.6 bilion bagi 2017, berbanding dengan RM4.53 bilion pada 2016.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata berdasarkan prestasi eksport yang memberangsangkan pada 2017, Malaysia dijangka akan terus mendominasi pasaran dunia bagi sarung tangan getah khususnya untuk kegunaan dalam sektor kesihatan.

Katanya, pihak industri yakin akan dapat mencapai sasaran 65 peratus penguasaan eksport dunia bagi sarung tangan getah pada 2020.

Beliau menambah, pada 2017, eksport sarung tangan getah adalah dianggarkan sebanyak 228 bilion unit dan dijangka akan meningkat kepada 287 bilion unit pada 2020.

"Sejajar dengan ini, kementerian menerusi Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), akan meneruskan aktiviti pemasaran yang berkesan untuk meningkatkan kesedaran penggunaan sarung tangan serta mempromosikan sarung tangan yang berkualiti dari Malaysia.

"Pihak MPIC pada masa ini juga menyasarkan aktiviti promosi di pasaran lain yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi seperti negara di rantau ASEAN, khususnya Filipina dan Myanmar.

"Untuk itu, MREPC sudah mengenalpasti beberapa program untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penggunaan sarung tangan dalam sektor kesihatan dan mempromosikan sarung tangan getah perubatan berkualiti buatan Malaysia," katanya pada "Majlis Makan Malam Bersama Kapten Industri" anjuran MREPC.

Berita Harian X