Ahad, 11 Februari 2018 | 6:18pm
KETUA Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. - Foto Saddam Yusoff
KETUA Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. - Foto Saddam Yusoff

KWAP rancang buka pejabat di China

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Amanah (Diperbadankan) atau KWAP merancang untuk meneroka ke China dengan menjangka membuka pejabat serantaunya di sana pada tahun ini, sekali gus mahu meningkatkan pelaburannya dalam ekuiti dan aset alternatif.

Pejabat baharu itu yang mungkin 'dibuka' pada akhir tahun ini bakal menjadi pejabat serantau keduanya selepas London yang menyelia pasaran di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, berkata China kini telah berkembang pesat di pasaran global dan menjadi penting kepada rantau Asia terutama dalam pelaburan ekuiti serta teknologi.

"Kami mahu memperluaskan kehadiran kami ke China dengan pembukaan pejabat di Shanghai. Kami telah membuat kajian kebolehlaksanaan mengenai perkara ini dan ia dijangka direalisasikan sebelum akhir tahun ini.

"China adalah pilihan terbaik buat kami dari segi kelas aset. Bukan sahaja teknologi, tetapi juga pelaburan ekuiti yang mana akan menjadi keutamaan kami di sana," katanya kepada NST Business.  

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, ia semakin hampir untuk mengambilalih syarikat insurans asing tahun ini, yang menjangkakan urus niaga dengan Prudential Plc akan dimuktamadkan terlebih dulu.

"Kemungkinan besar, urus niaga dengan Prudential akan dimuktamadkan dahulu," katanya.

Menurut laporan Bloomberg tahun lalu, Prudential, Great Eastern dari Singapura dan Tokio Marine Holdings Inc dari Jepun adalah antara syarikat insurans yang sedang merancang mahu mengurangkan kepentingan dalam anak syarikat mereka di Malaysia.

Bank Negara Malaysia memberi firma insurans asing sehingga akhir Jun 2018 bagi mengurangkan kepentingan mereka dalam syarikat tempatan kepada 70 peratus, tambah laporan itu.

Dalam perkembangan lain, Wan Kamaruzaman berharap supaya lebih banyak sukuk hijau dapat diwujudkan kerana permintaan kini adalah melebihi bekalan.

Katanya, kehendak untuk memenuhi keperluan hijau ketika ini adalah lebih tinggi dan pasaran perlu bergerak lebih cepat untuk memenuhi permintaan itu.

KWAP pada minggu lalu di Simposium Pasaran Modal Dunia 2018 menjadi dana pencen pertama di Malaysia yang menandatangani Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dengan menandatangani program itu, dana persaraan terbabit akan menyokong dan mempromosikan penggunaan program pelaburan berlandaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"KWAP memegang prinsip bahawa penyepaduan amalan ESG dapat menjana pulangan mapan yang disesuaikan dengan risiko dan membolehkan kami melaksanakan operasi secara bertanggungjawab," katanya.

Berita Harian X