Jumaat, 9 Februari 2018 | 3:12pm
DATUK Seri Johari Abdul Ghani (dua dari kanan) bersama Datuk Agil Natt (dua dari kiri), Jessica Chew Cheng Lian (kiri), Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak pada pelancaran SME pinjaman pertama Malaysia dan pembiayaan landasan rujukan di Sasana Kijang. - Foto Saddam Yusoff
DATUK Seri Johari Abdul Ghani (tiga dari kanan) mencuba imSME terminal selepas melancarkan SME pinjaman pertama Malaysia dan pembiayaan landasan rujukan di Sasana Kijang. Turut bersama, Datuk Agil Natt (dua dari kanan), Jessica Chew Cheng Lian (kiri), Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak. - Foto Saddam Yusoff

imSME pendekkan tempoh proses pinjaman PKS

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini boleh memanfaatkan platform rujukan pinjaman dan pembiayaan PKS pertama di Malaysia, imSME yang mampu memendekkan tempoh memproses dokumen pinjaman berbanding sebelum ini.

Buat permulaan, platform yang diuruskan oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) itu dijangka memanfaatkan sehingga 2,000 PKS menjelang akhir tahun ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata platform berkenaan adalah satu lagi kejayaan kepada ekosistem PKS, di mana peserta industri boleh memilih pelbagai pilihan pinjaman oleh bank yang terbabit, sekali gus menikmati kemudahan kewangan yang bertepatan dengan model perniagaan masing-masing.

"Pastinya, platform ini akan memendekkan tempoh pemprosesan pinjaman berbanding cara konvensional yang memerlukan mereka pergi ke setiap bank untuk memohon pinjaman.

"imSME disasarkan kepada semua peringkat PKS yang berdepan masalah memohon pinjaman. Ia adalah platform atas talian yang sangat unik yang membolehkan PKS mencari dan memadankan produk pinjaman yang sesuai dengan kehendak mereka, pada tempoh yang lebih cepat dan mudah," katanya ketika melancarkan platform itu di sini, hari ini.

Sejak pra pelancaran imSME pada November tahun lalu, sebanyak 321 permohonan diterima dan 64 daripadanya berjaya memilih produk yang bersesuaian.

Lima daripadanya sudah diluluskan membabitkan nilai lebih RM500,000.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, berkata platform imSME mampu mengurangkan jurang antara institusi kewangan dengan sektor PKS.

"Kami mahu mengubah landskap pembiayaan PKS di Malaysia untuk bersaing dengan trend global yang berkembang pesat.

"Peluang ini bukan hanya terbuka kepada PKS, tetapi juga usahawan muda yang mahu menghubungkan perniagaan mereka dengan pembiayaan kewangan yang tepat untuk berkembang," katanya.

Ketika ini, sebanyak 14 institusi kewangan terbabit dalam platform itu antaranya Affin Bank, AmBank, AgroBank, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, CIMB Bank, Hong Leong Bank, Maybank, OCBC, OCBC Al-Amin, Public Bank, Public Islamic bank, RHB dan SME Bank.

Kesemua bank ini memiliki jaringan lebih 2,400 cawangan seluruh Malaysia dengan 60 produk pembiayaan.

Platform imSME bermaksud 'i am SME' (saya ialah SME) yang meliputi perusahaan mikro, sederhana dan kecil.

Berita Harian X