Isnin, 27 November 2017 | 5:19pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berucap pada majlis perasmian Dialog TN50 MITI di peringkat negeri di Ipoh, hari ini. - Foto Effendy Rashid
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berucap pada majlis perasmian Dialog TN50 MITI di peringkat negeri di Ipoh, hari ini. - Foto Effendy Rashid

MITI bangun kawasan automotif baharu

IPOH: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bercadang membangunkan kawasan seluas 406 hektar berhampiran Proton City di Tanjung Malim sebagai kawasan perindustrian automatif baharu. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata beliau akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, bagi membolehkan kawasan ladang itu ditukar kepada kawasan perindustrian.

Katanya, cadangan itu susulan daripada perbincangan pihaknya bersama Proton Holdings Bhd (PROTON) untuk memindahkan keseluruhan kilang pembuatannya ke Tanjung Malim dalam tempoh lima tahun.

"Saya akan berbincang dengan Menteri Besar dalam masa terdekat untuk menyokong cadangan pembangunan itu sebagai menyokong pembangunan industri elektronik automatif.

"Saya telah mengadakan pertemuan bersama pengurusan PROTON untuk membuat keputusan. Bagaimanapun kita perlu memulakan dengan mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri serta mendapatkan insentif untuk industri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Dialog TN50 MITI di peringkat negeri di sini, hari ini.

Ka Chuan berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan permintaan syarikat pengeluar kereta terbesar di China, Zahijiang Geely Holding Group Co Ltd (GEELY) yang mahu menghasilkan teknologi pemanduan kiri dan kanan kereta.

"GEELY di China mahu membangunkan teknologi pemanduan kiri dan kanan dalam pembuatan kereta di Tanjung Malim.

"Jadi mereka jangka apabila kilang (PROTON) siap sepenuhnya, mereka boleh menghasilkan 400,000 kereta, sekali gus membentuk rantaian bekalan jangka panjang kepada industri automatif," katanya.

Ka Chuan berkata, dengan manfaat pemindahan kilang pembuatan PROTON daripada Shah Alam ke Tanjung Malim serta pembangunan bagi kawasan perindustrian elektronik, industri itu mampu menjana peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

"Pihak pengurusan Geely memaklumkan jika mereka boleh menghasilkan 400,000 kereta, mereka memerlukan sebanyak 50,000 tenaga kerja.

"Ditambah dengan kilang rantaian bekalan bagi menyokong industri pembuatan kereta, kita mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Berita Harian X