Jumaat, 27 Oktober 2017 | 7:47pm

Purata gaji, upah bulanan meningkat

PASARAN pekerjaan dijangka kekal stabil dengan kadar pengangguran 3.4 peratus tahun ini, kadar sama dicatatkan tahun lalu.

Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, pasaran pekerjaan kekal menggalakkan dengan kadar pengangguran 3.4 peratus.

Jumlah tenaga buruh meningkat 1.9 peratus daripada 14.6 juta orang bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu kepada 14.9 juta orang bagi tempoh sama tahun ini.

Jumlah guna tenaga turut meningkat 1.9 peratus kepada 14.4 juta orang untuk tempoh separuh pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sektor perkhidmatan menjadi sektor paling ramai penduduk bekerja iaitu membabitkan 8.9 juta orang atau 62 peratus daripada jumlah guna tenaga terutama dalam subsektor perdagangan borong dan runcit diikuti sektor pembuatan (17.5 peratus) dan pertanian (11.2 peratus).

Berdasarkan laporan penyiasatan gaji dan upah 2016 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, purata gaji dan upah bulanan yang diterima pekerja meningkat 6.5 peratus kepada RM2,463 berbanding RM2,312 pada 2015.

Sektor perlombongan dan pengkuarian mencatat pertumbuhan purata upah bulanan tertinggi sebanyak 14 peratus diikuti sektor pertanian, perhutanan dan perikanan (8.9 peratus) serta pembinaan (lapan peratus).

Bagaimanapun sektor pembuatan mencatat pertumbuhan purata upah bulanan terendah sebanyak 4.5 peratus dan perkhidmatan 4.8 peratus. Purata upah bulanan pekerja mengikut pencapaian pendidikan juga meningkat menurut laporan berkenaan.

Jawatan kosong meningkat

Jumlah jawatan kosong yang dilaporkan JobsMalaysia meningkat kepada 926,359 bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding 433,634 jawatan kosong bagi tempoh sama tahun lalu.

Sektor pembuatan mencatat kekosongan tertinggi iaitu 40.8 peratus diikuti sektor perkhidmatan (22.7 peratus), pembinaan (18.5 peratus) dan pertanian (17.7 peratus).

Pada akhir Ogos lalu, bilangan pencari kerja aktif berkurang 2.8 peratus kepada 276,635 dengan 21.1 peratus adalah pendaftar baharu.

Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, bilangan pekerja yang diberhentikan seperti dilaporkan Kementerian Sumber Manusia meningkat kepada 26,638 orang berbanding 26,367 orang bagi tempoh sama tahun lalu.

Pemberhentian tertinggi dicatat dalam sektor pembuatan iaitu 75.8 peratus diikuti perkhidmatan (20.7 peratus) dan perlombongan (2.5 peratus).

Berita Harian X