Jumaat, 27 Oktober 2017 | 6:56pm

Eksport pemangkin pertumbuhan dagangan

DAGANGAN Malaysia mencatatkan peningkatan ketara, 22.6 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama 2017 (Januari-Ogos 2016: 0.9 peratus) yang sebahagian besarnya dipacu permintaan global lebih baik dan kerancakan aktiviti domestik.

Seiring pertumbuhan dua angka bagi eksport kasar untuk tempoh sama, ia dijangka melonjak 16.6 peratus kepada RM917.5 bilion (2016: 1.2 peratus; RM787 bilion) disokong permintaan tinggi barangan pembuatan dan komoditi.

Eksport kasar turut dianggar berkembang pada kadar lebih cepat sebanyak 17.8 peratus kepada RM822.9 bilion (2016: 1.9 peratus; RM698.8 bilion) susulan dipacu permintaan kukuh bagi barangan penggunaan menyederhana, sekali gus menjangkakan lebihan dagangan berada lebih tinggi pada RM94.6 bilion (2016: RM88.1 bilion).

Eksport barangan pembuatan yang menyumbang 81.3 peratus kepada jumlah eksport dianggar berkembang 15.5 peratus pada 2017 (2016: 82.1 peratus; 3.3 peratus), khususnya didorong permintaan lebih tinggi bagi produk Elektrik dan Elektronik (E&E).

Disokong eksport barangan

Unjuran itu disokong prestasi eksport barangan pembuatan dalam tempoh lapan bulan pertama 2017, yang menyaksikan lonjakan 21.1 peratus kepada RM500.4 bilion (Januari-Ogos 2016: 3.8 peratus; RM413.2 bilion).

Ia susulan permintaan kukuh bagi E&E, produk petroleum, kimia dan produk kimia, serta produk getah.

Pendapatan eksport E&E pula berkembang ketara sebanyak 21.4 peratus bagi tempoh sama (Januari-Ogos 2016: 2.3 peratus) berikutan prestasi menggalakkan daripada semikonduktor (22.8 peratus), mesin pemprosesan data automatik (28.5 peratus), perkakas mesin elektronik (35.1 peratus) dan mesin pejabat (57.5 peratus).

Eksport produk E&E meningkat secara ketara ke Singapura dengan 35.4 peratus, Jepun (28.6 peratus), China (24.3 peratus), Hong Kong (13.3 peratus) dan Amerika Syarikat (7.8 peratus).

Sementara itu, eksport bukan E&E mencatat pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 20.9 peratus bagi tempoh lapan bulan pertama 2017 (Januari-Ogos 2016: 5 peratus) dengan hampir semua subsektor menunjukkan prestasi positif.

Hasil eksport produk petroleum umpamanya kembali pulih dengan ketara sebanyak 43.6 peratus (Januari-Ogos 2016: -3.6 peratus) berikutan peningkatan permintaan terutama dari Indonesia (135.2 peratus), China (96.4 peratus), Australia (73.7 peratus) dan Singapura (24.5 peratus).

Pendapatan eksport barangan pertanian pula dijangka meningkat 23.8 peratus kepada RM87.2 bilion, tahun ini (2016: 4.7 peratus; RM70.4 bilion) kerana disokong lonjakan penghantaran minyak sawit dan getah asli.

Eksport minyak sawit pulih

Bagi minyak sawit, eksportnya kembali pulih secara signifikan sebanyak 18.8 peratus kepada RM30.6 bilion (Januari-Ogos 2016: -0.1 peratus; RM25.8 bilion) didorong peningkatan nilai purata seunit (AUV) sebanyak 20.9 peratus kepada RM3,118 satu tan metrik.

Penghantaran getah asli turut melakar perkembangan positif apabila kembali meningkat 56.3 peratus kepada RM3.5 bilion (Januari-Ogos 2016: -0.1 peratus; RM2.2 bilion) berikutan lonjakan AUV (51.7 peratus) dan volum eksport, 3.1 peratus.

Hasil eksport barangan perlombongan dijangka melonjak 23.4 peratus kepada RM80.3 bilion tahun ini (2016: -18.9 peratus; RM65.1 bilion) disokong harga yang lebih kukuh bagi petroleum mentah dan peningkatan permintaan bagi gas asli cecair (LNG).

Berita Harian X