Jumaat, 6 Oktober 2017 | 7:14pm

Eksport terus catat kenaikan luar jangkaan

KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia meneruskan aliran peningkatan luar jangkaan dengan pertumbuhan dua angka peratusan sejak sembilan bulan lalu apabila mencatat kenaikan 21.5 peratus pada Ogos berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Angka terbaru itu adalah lebih tinggi daripada jangkaan umum penganalisis, iaitu sekitar 19 peratus, didorong pertambahan eksport barangan perkilangan dan gas cecair asli (LNG).

Susulan prestasi baik eksport yang diraih negara sejak Disember tahun lalu juga mendorong peningkatan rizab antarabangsa Malaysia kepada kedudukan yang lebih kukuh.

Semalam Bank Negara Malaysia mengumumkan rizab antarabangsa meningkat kepada AS$101.2 bilion (RM427.7 bilion) pada 29 September 2017, berbanding AS$100.8 bilion (RM432.8 bilion) yang dicatatkan pada 15 September 2017.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata tempoh lapan bulan pertama 2017 menyaksikan pertumbuhan yang belum pernah berlaku dalam perdagangan Malaysia, dengan pengembangan sebahagian besarnya disokong oleh dagangan dengan ASEAN, China, Kesatuan Eropah (EU), Taiwan, Amerika Syarikat Amerika (AS), Jepun dan Australia.

"Import meningkat sebanyak 22.6 peratus kepada RM72.36 bilion, dan lebihan dagangan meluas kepada RM9.87 bilion, menjadikannya lebihan dagangan 238 bulan berturut-turut sejak November 1997," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Mustapa berkata, jumlah dagangan bagi tempoh lapan bulan pertama 2017 bernilai RM1.163 trilion, meningkat 22.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2016.

Eksport berjumlah RM611.92 bilion, meningkat 22.2 peratus manakala import berjumlah RM551.07 bilion, naik 23 peratus dengan lebihan dagangan sebanyak RM60.84 bilion dicatatkan dalam tempoh itu.

Berdasarkan angka bulan ke bulan, jumlah dagangan, eksport dan import masing-masing meningkat 3.6 peratus, 4.6 peratus dan 2.5 peratus.

Eksport barangan perkilangan bagi Ogos 2017 meningkat 22.3 peratus kepada RM67.65 bilion, diperkukuh oleh eksport yang lebih tinggi dalam semua produk dalam sektor perkilangan.

Eksport elektrik dan elektronik (E&E) mencecah rekod tertinggi sebanyak RM31.04 bilion, meningkat 20.1 peratus atau RM5.2 bilion pada Ogos.

"Prestasi ini mencerminkan lapan bulan berturut-turut eksport produk E&E merekodkan pertumbuhan dua angka," katanya.

Eksport barangan perlombongan pada Ogos meningkat 38.8 peratus kepada RM6.9 bilion, dipacu oleh kenaikan eksport gas asli cecair (LNG), disokong oleh kedua-dua Nilai Unit Purata (AUV) dan nilai yang lebih tinggi.

Eksport barangan pertanian bagaimanapun merosot 1.8 peratus kepada RM6.68 bilion, disebabkan eksport minyak sawit yang lebih rendah.

Eksport utama pada Jun 2017 terdiri daripada barangan E&E bernilai RM31.04 bilion yang menyumbang 37.8 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 20.1 peratus berbanding Ogos 2016, kimia dan bahan kimia, RM5.93 bilion, 7.2 peratus daripada jumlah eksport, meningkat sebanyak 15.7 peratus tahun ke tahun.

Eksport lain terdiri daripada produk Petroleum bernilai RM5.26 bilion, menyumbang 6.4 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 33.6 peratus berbanding 2016, produk pertanian sawit dan minyak sawit, RM4.51 bilion ( 5.5 peratus daripada jumlah eksport, turun 8.9 peratus), dan LNG sebanyak RM3.97 bilion, (4.8 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 101.8 peratus).

Perdagangan dengan China pada Ogos 2017 meningkat 16.1 peratus kepada RM25.24 bilion, dengan jumlah eksport mencecah RM11.3 bilion, nilai bulanan tertinggi yang pernah direkodkan setakat ini, meningkat 21.2 peratus atau RM1.98 bilion.

Ini disebabkan peningkatan pengeluaran produk petroleum, perkilangan logam, kimia dan produk kimia, produk E&E dan produk getah, manakala import dari China meningkat 12.3 peratus kepada RM13.93 bilion.

Dagangan dengan rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada bulan sama meningkat 22 peratus kepada RM97.7 bilion dengan eksport ke negara rakan FTA bernilai RM51.18 bilion, meningkat 20.2 peratus, manakala import berjumlah RM46.52 bilion atau peningkatan sebanyak 24 peratus.

Berita Harian X