Isnin, 2 Oktober 2017 | 5:51pm
Richard Branson

Richard Branson melabur dalam projek mewah Laut Merah

JEDDAH: Hartawan yang juga pengasas syarikat penerbangan Virgin, Richard Branson bakal melabur dalam projek Laut Merah Arab Saudi yang bertujuan menjadikan 50 pulau di negara itu sebagai destinasi pelancongan mewah.

Kenyataan dari kerajaan Arab Saudi pada Ahad menyatakan Branson ialah pelabur antarabangsa pertama yang memberi komitmen untuk projek itu.

Pegawai kementerian menyifatkan ia sebagai tanda jelas Arab Saudi membuka pintu untuk pelancongan antarabangsa.

Branson juga dalam lawatannya turut singgah ke makam di Madain Saleh, tapak Warisan Dunia UNESCO yang terletak berhampiran rangkaian hotel baharunya nanti.

Ia disifatkan sebagai agenda untuk menarik perhatian antarabangsa dari segi pelaburan dan pelancongan.

"Ini masa yang sangat menarik dalam sejarah Arab Saudi," kata Branson dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian Arab Saudi.

Arab Saudi satu daripada negara paling konservatif di dunia dengan hanya pada minggu lalu meluluskan perintah membenarkan wanita memandu.

Sejak perlantikan Putera Mohammed Salman yang berkuasa sebagai pengganti takhta ayahnya pada bulan Jun lalu, negara pengeluar minyak utama itu melancarkan kempen media yang bertujuan mempromosikan imej negaranya.

Putera Mohammed yang mengetepikan sepupunya Mohammed Nayef untuk dilantik sebagai pewaris kerajaan, juga menjadi juara rancangan ekonomi Wawasan 2030 yang bercita-cita tinggi di Arab Saudi.

Pada 1 Ogos lalu, Arab Saudi mengumumkan rancangan untuk menjadikan 34,000 kilometer persegi (13,127 batu persegi) dari pantai Laut Merahnya menjadi pusat peranginan mewah.

Projek itu bertujuan menarik pelancong antarabangsa ke negara, tempat arak dilarang dan peraturan ketat pergerakan dan pakaian wanita.

Dana Pelaburan Awam Saudi, yang diketuai oleh Putera Mohammed akan menyediakan pelaburan awal ke dalam projek Laut Merah, dengan pembinaan dijangka bermula pada 2019.

Projek Laut Merah dijangka menjana 35,000 pekerjaan, menurut kerajaan Saudi. - AFP

Berita Harian X