Rabu, 6 September 2017 | 3:14pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Eksport Julai naik 30.9 peratus

KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh pada Julai apabila mencatat nilai RM78.62 bilion, meningkat 30.9 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia disokong oleh penghantaran barangan perkilangan dan perlombongan yang lebih tinggi.

Kadar pertumbuhan itu mengatasi unjuran kenaikan 23.1 peratus oleh tinjauan Reuters dan tiga kali ganda pertumbuhan dicatat pada Jun.

Penghantaran barangan perkilangan yang menyumbang lebih daripada empat perlima jumlah eksport Malaysia, naik 32.6 peratus berbanding Julai tahun sebelumnya.

Barangan elektrik dan elektronik (E&E) mengetuai eksport dengan mencatat pertumbuhan dua angka bagi bulan ketujuh berturut-turut (+28.3 peratus) atau RM6.15 bilion, diikuti eksport barangan perlombongan yang berkembang sebanyak 27.5 peratus kepada RM6.71 bilion serta barangan pertanian (+14.8 peratus) RM6.42 bilion.

MITI berkata, eksport utama Julai lalu membabitkan barangan E&E bernilai RM27.91 bilion, produk petroleum RM7.09 bilion, kimia dan produk kimia RM5.72 bilion, produk minyak kelapa sawit dan berasaskan kelapa sawit RM4.46 bilion, serta gas asli cecair RM3.79 bilion.

Bagi import Julai, angkanya meningkat sebanyak 21.8 peratus kepada RM70.59 bilion, dengan tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir ialah barangan perantaraan bernilai RM39.9 bilion, barangan modal berjumlah RM9.18 bilion dan barangan penggunaan berjumlah RM5.99 bilion.

"Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, import bernilai RM478.71 bilion atau peningkatan 23 peratus berbanding tempoh sama pada 2016.

"Barang pengantara bernilai RM278.71 bilion meningkat sebanyak 25.6 peratus, barangan modal (RM65.78 bilion, meningkat 15.7 peratus) dan barangan penggunaan (RM40.35 bilion, meningkat 5.1 peratus)," kata MITI.

MITI berkata, secara keseluruhan jumlah dagangan Malaysia melepasi RM1 trilion bagi tempoh tujuh bulan pertama 2017, peningkatan 22.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2016.

Dagangan melepasi RM1 trilion dua bulan lebih awal daripada trend biasa.

"Peningkatan dagangan disokong terutama oleh dagangan dengan ASEAN, China, Amerika Syarikat, Kesatuan eropah, Jepun, India dan Taiwan.

"Ekspot meningkat 22.3 peratus kepada RM529.68 bilion, manakala import menambah 23 peratus kepada RM478.71 bilion, menjadikan lebihan dagangan sebanyak RM50.97 bilion," kata MITI.

Berita Harian X