Selasa, 5 September 2017 | 9:14pm
ALUN Jones (lima dari kiri), Pengasas AENEA Jewellery Costan Eghiazarian (empat kiri) dan Pereka fesyen Hasfitri Yusof (tiga kanan) bersama dengan model pada pertunjukan fesyen barang kemas di "The Asian International Jewellery Exhibition 2017 di Shangri La Hotel. - Foto Saifullizan Tamadi

Promosi Malaysia sebagai hab global barang kemas

KUALA LUMPUR: Lebih 40 jenama barang kemas daripada 14 negara akan menyertai Pameran Barang Kemas Asia 2017 di Hotel Shangri-La mulai hari ini hingga 7 September.

Alun Jones, Pengurus Besar UBM MES, penganjur pameran terbabit berkata, acara kali pertama itu bertujuan meningkatkan reputasi Malaysia sebagai pusat perdagangan barang kemas standard global, di samping mempromosi negara ini sebagai hab baharu peniaga dan pembeli swasta barang kemas di seluruh dunia.

Menurutnya, acara antarabangsa berprofil tinggi berkenaan boleh menjadi platform ideal untuk peniaga barang kemas tempatan meneroka dan bekerjasama di peringkat antarabangsa dengan penyertaan tukang emas terkemuka dan pereka paling baik Malaysia di pameran berkenaan.

"Pasaran untuk barang kemas halus berkembang pesat dengan Malaysia di tempat kedua di dunia dari segi pertumbuhan pasaran.

"Kami telah menyaksikan pasaran di sini tumbuh 99 peratus sejak 2012 dan fakta ini serta pengalaman luas kami dalam industri, menjadikan Pameran Barang Kemas Asia 2017 amat kena pada masanya," katanya kepada pemberita ketika pratonton pameran itu di sini, hari ini.

UBM MES adalah gabungan antara United Business Media (M) Sdn Bhd dan Malaysian Exhibition Services Sdn Bhd.

Antara jenama antarabangsa terkemuka menyertai majlis itu ialah Aenea Jewellery dari Austria, Autore South Sea Pearls (Australia), Sutra Jewels (Amerika Syarikat) dan Heinz Mayer (Jerman).

"Kami telah mereka dengan teliti pameran itu bagi memastikan majoriti jenama tidak terdapat di kedai utama di Malaysia, yang sudah pasti akan meningkatkan minat pelawat untuk melihat, menyentuh dan membeli produk tersebut," katanya.

Pelawat dikehendaki mengemukakan kad pengenalan Malaysia atau pasport antarabangsa mereka di kaunter pendaftaran untuk kemasukan percuma dari jam 12 tengah hari hingga 8 malam. - BERNAMA

Berita Harian X