Ahad, 27 Ogos 2017 | 5:13pm

KWAP sasar labur 3 firma insurans asing

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengecilkan pilihannya untuk hanya melabur dalam tiga syarikat insurans milik asing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, berkata pengurus dana pencen kakitangan awam itu kini dalam usaha melantik penasihat berhubung perkara itu.

"Kami bakal melantik sebuah bank pelaburan sebagai penasihat. Syarikat itu adalah firma besar seperti Great Eastern, Prudential dan AIA," katanya.

KWAP, dana pencen kedua terbesar Malaysia, berpotensi bekerjasama dengan pelabur institusi lain kerana peratusan saham perlu dimiliki dalam firma insurans itu adalah agak besar.

"Ia (pengambilalihan ekuiti) bergantung kepada penilaian. Mungkin bukan kami seorang sebenarnya. Kami mungkin menjalin perkongsian dengan pelabur institusi, mungkin bukan sebuah, mungkin dua atau tiga tetapi ia bergantung kerana pegangan agak besar dan terdapat ramai lagi peserta lain.

"Oleh itu, kami mungkin tidak semestinya membeli satu untuk diri kami sendiri tetapi kami mungkin membeli pegangan lebih kecil (dalam syarikat ini)," katanya di luar acara Super Series II Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) di sini, hari ini.

Wan Kamaruzaman berkata, KWAP akan melantik penasihat kewangan bagi mengendalikan proses pemilihan sebagai mewakilinya agar ia tidak banyak terbabit dalam tugas itu.

KWAP akan membuat keputusan akhir selepas proses berkenaan selesai dan keputusannya dijangka diumumkan pada akhir tahun, katanya.

Saiz dana KWAP berkembang 200 peratus daripada RM42 bilion pada 2007 kepada RM125 bilion pada Disember 2016, dan daripada jumlah itu, RM53.6 bilion adalah hasil daripada peningkatan dalam pendapatan pelaburan yang seterusnya akan digunakan bagi membiayai liabiliti pencen.

Bank Negara Malaysia mengarahkan syarikat insurans asing, iaitu Tokio Marine Holdings Inc, AIA Group Ltd, Great Eastern Holdings Ltd dan Prudential untuk mematuhi peraturan pemilikan asing yang mensyaratkan syarikat insurans asing meningkatkan penyertaan pemegang saham tempatan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus.

Syarikat insurans asing mempunyai tempoh sehingga Jun 2018 untuk mematuhi peraturan itu. - BERNAMA

Berita Harian X