Khamis, 17 Ogos 2017 | 8:37pm

Fitch iktiraf pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Fitch Ratings mengesahkan penarafan kemungkiran penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan jangka panjang Malaysia pada `A-' dengan tinjauan stabil.

Menurut agensi penarafan kredit dunia itu, penarafan A- Malaysia disokong oleh pertumbuhan kukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding penengah atau median negara lain dalam kategori 'A', lebihan akaun semasa yang mampan serta kedudukan pemiutang luar bersih negara ini.

"Bagaimanapun, penarafan kekal dikekang oleh beberapa struktur metrik, termasuk KDNK perkapita dan petunjuk tadbir urus, yang lebih lemah berbanding penengah kategori 'A', selain hutang kerajaan yang agak lebih tinggi berbanding negara setanding dan boleh terjejas oleh liabiliti yang besar," menurutnya dalam satu kenyataan.

Fitch menganggarkan purata pertumbuhan KDNK benar Malaysia pada 5.0 peratus, jauh mengatasi penengah kategori 'A' iaitu 2.9 peratus.

Prestasi ekonomi Malaysia adalah berdaya tahan sejak dua tahun lalu meskipun ketika ekonominya terpaksa disesuaikan kepada pelbagai cabaran termasuk harga minyak lebih rendah dan turun naik aliran modal.

Momentum pertumbuhan bertambah pantas pada 2017 dan Fitch meningkatkan unjuran pertumbuhan KDNK seluruh tahun Malaysia kepada 5.1 peratus, daripada 4.5 peratus sebelumnya.

Perbelanjaan persendirian mendapat rangsangan tahun ini daripada peningkatan 15 peratus program pindahan tunai isi rumah berpendapatan rendah di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), manakala eksport mengukuh.

Fitch berkata, dasar monetari Bank Negara Malaysia berkesan dalam membendung inflasi dan walaupun inflasi meningkat secara purata kepada 4.1 peratus pada separuh pertama tahun ini, ia disebabkan oleh kesan asas daripada harga komoditi sangat rendah tahun lalu.

"Kami mengunjurkan inflasi 3.5 peratus pada 2017 apabila kesan asas ini reda," katanya.

Ia menambah, kerajaan berjaya membendung kesan kejatuhan harga minyak terhadap defisit bajet dan menjangkakan sasaran defisit bajet kerajaan persekutuan 3.0 peratus daripada KDNK untuk tahun ini akan dapat dicapai dan akan terus mengecil dalam tempoh dua tahun akan datang.

Hasilnya, kata Fitch, hutang kerajaan persekutuan akan stabil pada kira-kira 52 peratus KDNK untuk 2017 dan 2018, di bawah siling hutang yang ditetapkan kerajaan iaitu 55 peratus, namun sedikit di atas penengah kategori 'A' iaitu 49 peratus.

"Kami terus melihat liabiliti kontinjen sebagai satu risiko kepada kewangan awam. Jaminan tidak nampak kerajaan persekutuan berjumlah 15.2 peratus daripada KDNK setakat akhir 2016," katanya.

Fitch berkata, kesanggupan BNM untuk membenarkan kadar tukaran asing mengapung sebagai tindak balas kepada suasana luaran mencabar sejak beberapa tahun lalu dapat memberi keselesaan kepada kedudukan kewangan luar Malaysia.

"Begitupun, bank pusat berusaha untuk menguruskan ketidaktentuan ringgit. Akhir tahun lalu, BNM menambah baik peraturan tukaran asing sedia ada bagi membendung tekanan luar terhadap mata wang," katanya.

KDNK per kapita Malaysia diunjurkan pada AS$9,815 tahun ini.

Berita Harian X