Khamis, 27 Julai 2017 | 5:49pm

AladdinStreet bawa pembeli bertuah ke Old Trafford

KUALA LUMPUR: Seramai 32 pemenang berpeluang memenangi pelbagai hadiah hanya dengan berbelanja di platform tempatan atau antarabangsa pasaran e-dagang produk halal pertama dunia, AladdinStreet di www.aladdinstreet.com dan www.aladdinstreet.com.my.

Empat pemenang utama yang terdiri daripada pembeli dengan nilai terbesar akan memenangi tiket perlawanan suite hospitaliti untuk menyaksikan perlawanan membabitkan Manchester United, lawatan ke Old Trafford, tiket penerbangan dan wang tunai 200 pound sterling untuk berbelanja di Mega Store Manchester United.

 Pengasas Bersama & Timbalan Presiden AladdinStreet, Datuk Wesley Ong (kiri) and Naib Presiden Kanan Kumpulan Aladdin, Datuk Seri Vincent Tiew mempamerkan hadiah peraduan semasa sidang akhbar "To United We Celebrate" di Menara MBMR. - Foto NSTP/Khairull Azry Bidin
Pengasas Bersama & Timbalan Presiden AladdinStreet, Datuk Wesley Ong (kiri) and Naib Presiden Kanan Kumpulan Aladdin, Datuk Seri Vincent Tiew mempamerkan hadiah peraduan semasa sidang akhbar "To United We Celebrate" di Menara MBMR. - Foto NSTP/Khairull Azry Bidin

Empat pemenang tempat pertama yang ditentukan menerusi cabutan elektronik juga akan memenangi tiket perlawanan Manchester United dengan pakej hadiah sama seperti pemenang utama.

Sementara itu, empat pemenang tempat kedua akan membawa pulang jersi eksklusif bertanda tangan Wayne Rooney atau Paul Pogba, manakala 20 pemenang tempat ketiga akan mendapat jersi eksklusif Adidas Manchester United-AladdinStreet.

Bagi menyertai kempen berkenaan, orang ramai hanya perlu membuat pembelian minimum AS$50 di platform antarabangsa AladdinStreet atau RM200 di platform Malaysia AladdinStreet.

Kempen bagi platform global akan berlangsung sehingga 31 Oktober ini, manakala platform Malaysia berakhir pada 30 September ini.

Pengasas Bersama & Timbalan Presiden AladdinStreet, Datuk Wesley Ong, berkata kempen global itu adalah sebahagian perjanjian kerjasama yang dimeterai oleh AladdinStreet bersama kelab gergasi bola sepak Inggeris, Manchester United pada Mac lalu.

Di bawah perjanjian selama lima tahun itu, AladdinStreet akan menjadi rakan rasmi pasaran e-dagang global Manchester United.

Jenama AladdinStreet antara lain akan terpampang di papan iklan elektronik semasa perlawanan membabitkan Manchester United di Stadium Old Trafford.

Ia adalah sebahagian perancangan besar syarikat yang diasaskan bersama oleh angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor itu untuk muncul pasaran e-dagang produk halal terbesar dunia, selain mencapai sasaran untuk disenaraikan di pasaran saham Amerika Syarikat (AS) menjelang 2020.

Berita Harian X