KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih LPI Capital Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 turun 19.8 peratus kepada RM276.61 juta daripada RM344.68 juta pada tahun sebelumnya, terjejas sebahagiannya disebabkan oleh pelaksanaan Cukai Makmur pada 2022.
Pada tahun kewangan 2022, prestasi kumpulan terjejas oleh perubahan ketara dalam persekitaran operasi susulan pembukaan semula ekonomi domestik selepas sekatan berkaitan pandemik selama dua tahun di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hasil berkurangan kepada RM1.66 bilion daripada RM1.72 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Keuntungan LPI merosot bagi asas tahun ke tahun disebabkan oleh penormalan tuntutan.
"Meskipun penyambungan semula aktiviti perniagaan dan sosial menjadi pemangkin kepada pertumbuhan, tuntutan insurans juga meningkat kembali ke paras seperti sebelum pandemik susulan penurunan ketara dalam tempoh dua tahun lalu," katanya.
Bagi tempoh 12 bulan yang berakhir 31 Disember 2022, nisbah tuntutan yang ditanggung anak syarikat insurans milik penuhnya, Lonpac Insurance Bhd (Lonpac) meningkat kepada 44.0 peratus daripada 36.5 peratus pada tahun kewangan 2021.
Kekerapan tuntutan tinggi dan peningkatan kos tuntutan akibat daripada tekanan inflasi menyumbang kepada nisbah tuntutan tinggi.
Pulangan ekuiti bersih kumpulan berada pada 12.7 peratus pada Tahun Kewangan 2022 berbanding 16.1 peratus pada Tahun Kewangan 2021, manakala pendapatan sesahamnya berada pada 69.43 sen, turun daripada 86.52 sen yang dicatatkan pada tahun kewangan 2021.
Meskipun keuntungan rendah yang dicatatkan kumpulan pada tahun kewangan 2022, syarikat itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 35.0 sen sesaham (45.0 sen sesaham pada tahun kewangan 2021).
Pembayaran dividen interim kedua ini yang berjumlah RM139.4 juta merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham atas sokongan berterusan mereka.
"Kumpulan LPI akan kekal menumpukan kepada pertumbuhan perniagaan untuk mengimbangi jangkaan mampatan margin susulan pelaksanaan Fasa 2A pelan liberalisasi pasaran.
"Kami akan terus memacu transformasi digital kami untuk menambah baik pengalaman pelanggan dan meningkatkan kecekapan operasi," katanya sambil menambah pendekatan penaja jaminan kumpulan yang berhemat dan saluran pembangunan perniagaan yang pelbagai akan memudahkan syarikat untuk mendepani pelbagai cabaran pada tahun kewangan 2023
-BERNAMA