Selasa, 7 Februari 2023 | 1:34pm

Sistem imigresen digantikan, saham MyEG menjunam hingga 31.41 peratus

KUALA LUMPUR: Harga saham MyEG Services Bhd menjunam sehingga 30 sen atau 31.41 peratus pada pembukaan pasaran pagi tadi kepada 65.5 sen berikutan laporan semua perkhidmatan dan proses imigresen akan kembali semula kepada Jabatan Imigresen menjelang 2025, termasuk yang diuruskan oleh pihak ketiga seperti MyEG.

Harga saham syarikat itu berada pada paras 73 sen, susut 22.5 sen atau 23.56 peratus pada penutup sesi pagi.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud ketika dipetik New Straits Time (NST), berkata langkah itu susulan pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe), di mana RM900 juta diperuntukkan kepada Kementerian Dalam Negeri.

Menurut NST, Khairul berkata, NIISe menjadi pemangkin perubahan menambah baik kecekapan jabatan itu termasuk memudahkan pengguna.

"Saya kadang-kadang menerima laporan gangguan teknikal dalam Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs), di mana kita sudah menggunakannya hampir 13 tahun. NIISe akan menggantikan sistem itu dalam tempoh dua tahun.

"NIISe juga akan menggantikan semua transaksi imigresen, termasuk visa, permit kerja dan permohonan serta pembaharuan pasport, selain pemeriksaan di lapangan terbang dan pelabuhan," katanya.

Berdasarkan laporan media sebelum ini juga, pada Julai 2020, Putrajaya memberi lanjutan tiga tahun kepada MyEG menguruskan pembaharuan dalam talian pas lawatan kerja sementara bagi pekerja asing. Kontrak itu dianggarkan bernilai RM208 juta.

Khairul berkata, sistem baharu dijangka menamatkan barisan panjang dan tempoh menunggu lama di kaunter imigresen di lapangan terbang kerana urusan dilakukan automatik.

"Contohnya, kita mampu mengurangkan jumlah kaunter manual dari 38 (kini) kepada 15. Lebih ramai pelawat luar juga dibenar menggunakan e-gates.

"Bagaimanapun, sudah pasti kita tidak boleh membenarkan semuanya melalui e-gates kerana faktor keselamatan," katanya.

NIISe membabitkan pangkalan data bersepadu lebih 20 agensi di negara ini, termasuk polis dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Khairul berkata, permohonan pasport lebih mudah dengan pangkalan data bersepadu itu memandangkan pihak jabatan secara mudah menentusahkan sebarang maklumat dengan JPN.

Berita Harian X