Jumaat, 7 Oktober 2022 | 11:50pm
Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Ketiadaan cukai makmur petanda baik untuk pasaran modal

KUALA LUMPUR: Ketiadaan cukai makmur dalam Bajet 2023 akan memberi petanda baik kepada pasaran modal, kata Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata ini adalah faktor positif yang besar bagi sektor korporat, yang berpotensi mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) 2023 bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI sebanyak lima hingga enam peratus.

"Tanpa cukai sedemikian dikenakan, penganalisis mempunyai unjuran konsensus kadar pertumbuhan EPS sebanyak 11.5 peratus bagi 2023 berbanding -1.1 peratus untuk 2022. Ini petanda baik untuk pasaran modal," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau juga memuji komitmen kerajaan menerusi Bajet 2023 terhadap kemampanan kewangan jangka panjang dan untuk membina daya tahan Malaysia bagi menghadapi sebarang krisis masa depan.

Abdul Wahid berkata komitmen untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 daripada 5.8 peratus pada 2022 dan seterusnya kepada purata 4.4 peratus untuk 2023 hingga 2025 seharusnya dipuji.

Komitmen berterusan ke arah pembangunan mampan juga amat dialu-alukan, dan secara keseluruhan, Bajet 2023 ialah bajet yang positif, katanya.

– Bernama

Berita Harian X