Jumaat, 7 Oktober 2022 | 11:38pm
Gambar hiasan penyenaraian saham.
Gambar hiasan penyenaraian saham.

Bajet 2023: Potongan cukai kos senarai di Pasaran ACE, LEAP dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan kajian semula terhadap layanan potongan cukai sedia ada sehingga RM1.5 juta ke atas kos penyenaraian di Pasaran ACE dan LEAP dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun mulai tahun taksiran 2023 hingga 2025, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam lampiran cukai Bajet 2023 yang dikeluarkan hari ini, MOF berkata ia bertujuan untuk terus menggalakkan lebih banyak syarikat berasaskan teknologi dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana mengembangkan perniagaan dengan penambahan dana modal melalui penyenaraian di Bursa Malaysia.

MOF juga bercadang potongan cukai tersebut diperluaskan untuk meliputi kos penyenaraian syarikat berasaskan teknologi di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Bagi menyediakan saluran pembiayaan patuh syariah yang inovatif dan menempatkan Malaysia sebagai hab penerbitan serantau Sukuk berkaitan SRI, kerajaan mencadangkan potongan cukai diberikan ke atas kos penerbitan Sukuk berkaitan SRI yang diluluskan atau dibenarkan atau diserah simpan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi tempoh lima tahun, mulai tahun taksiran 2023 hingga 2027.

Sementara itu, kementerian berkata, untuk terus menarik lebih ramai pelabur individu melabur dalam syarikat pemula niaga melalui pendanaan awam ekuiti, kerajaan mencadangkan supaya skop galakan cukai diperluas bagi meliputi pelaburan yang dibuat oleh pelabur individu melalui syarikat nomini Perkongsian Liabiliti Terhad dan tempoh pelaburan dilanjutkan selama tiga tahun mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026.

Setakat ini, pelaburan yang dibuat hendaklah melalui platform pendanaan awam ekuiti yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan galakan cukai ini bagi pelaburan yang dibuat mulai 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023.

– Bernama

Berita Harian X