Khamis, 6 Oktober 2022 | 9:45pm
Yinson Holdings Bhd
Yinson Holdings Bhd

Yinson dapat pinjaman AS$720 juta biaya pembinaan kapal

KUALA LUMPUR: Yinson Holdings Bhd, melalui anak syarikat tidak langsung milik penuhnya yang berpangkalan di Belanda, Yinson Bergenia Production BV (YBPBV), memeterai perjanjian kemudahan pinjaman bersindiket AS$720 juta bagi projek kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan apungan (FPSO) Maria Quitéria.

"Pinjaman rekursa terhad enam tahun itu akan digunakan untuk menyokong pembinaan FPSO Maria Quitéria yang sedang berjalan, yang diberikan kepada Yinson oleh Petróleo Brasileiro SA (Petrobras) pada November 2021," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yinson berkata, perjanjian kemudahan itu ditandatangani dengan ING Bank NV cawangan Singapura, Maybank Group, Natixis Corporate & Investment Banking, Standard Chartered Bank (Singapore) Ltd, dan United Overseas Bank Ltd sebagai pengatur utama yang diberi mandat, penaja jamin dan penyelaras.

Perjanjian itu juga ditandatangani oleh Hongkong and Shanghai Banking Corporation Ltd dan JP Morgan yang mengambil bahagian sebagai pengatur utama yang diberi mandat, katanya.

Ketua Pegawai Strategi Kumpulan, Daniel Bong, berkata ruang pembiayaan FPSO itu sangat berdaya saing kerana banyak pembangunan minyak dan gas (O&G) yang ditangguhkan disambung semula pasca pandemik dan minat pelabur telah berkembang dengan agenda peralihan tenaga.

"Oleh itu, kejayaan perjanjian ini adalah sesuatu yang membanggakan, meyakinkan kami bahawa model perniagaan kami yang teguh serta keupayaan yang terbukti telah mendapat keyakinan pihak berkepentingan," katanya.

Maria Quitéria ialah kapal FPSO untuk medan Jubarte bagi projek bersepadu Parque das Baleias yang terletak di bahagian utara Campos Basin (luar pantai Brazil).

-BERNAMA

Berita Harian X