Khamis, 6 Oktober 2022 | 3:53pm
Datuk Mohamed Rafique Merican
Datuk Mohamed Rafique Merican

Maybank Islamic, Axis-REIT laksana swap kadar keuntungan Islam

KUALA LUMPUR: Maybank Islamic Bhd melaksanakan Swap Kadar Keuntungan secara Islam (IPRS) berkaitan kemampanan dan berjangka 10 tahun dengan Pelaburan Amanah Hartanah Axis (Axis-REIT).

Termaktub dalam IPRS berkenaan ialah penunjuk prestasi utama (KPI) pelaksanaan amalan

alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta sasaran prestasi kemampanan untuk menilai aspirasi ESG Axis-REIT.

Sekiranya Axis-REIT berjaya mencapai prestasi kemampanan itu, ia akan dapat manfaat diskaun ke atas kadar keuntungan IPRS.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata pengenalan IPRS

berkaitan kemampanan adalah satu inovasi yang diharap dapat memajukan komitmen bank itu untuk menyokong dan membentuk model perniagaan yang mampan.

"Kami berbesar hati mendapat AXIS-REIT sebagai pelanggan pertama yang menjadi sebahagian

daripada perjanjian IPRS berkaitan kemampanan ini. Banyak syarikat di seluruh dunia telah menjadikan agenda kelestarian sebagai keutamaan perniagaan mereka.

"Kumpulan Maybank tidak terkecuali dalam hal ini dan kami sentiasa menyokong pelanggan yang berada dalam perjalanan yang sama.

"Kami komited untuk menyokong pelanggan yang berfikiran sama dalam menstruktur penyelesaian inovatif seperti ini sambil memainkan peranan untuk menyumbang kepada agenda ESG yang lebih luas," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam ruang derivatif Islam, manfaat diskaun keatas kadar keuntungan IPRS dipercayai yang pertama yang ditawarkan oleh institusi perbankan Islam di Malaysia.

IPRS ialah produk terbitan Islam yang diterima secara meluas dan digunakan untuk melindung nilai risiko kadar keuntungan.

Ia adalah perjanjian untuk menukar kadar keuntungan antara dua pihak dan dilaksanakan melalui pelaksanaan beberapa siri kontrak asas untuk memperdagangkan komoditi tertentu bagi memastikan ia mematuhi Syariah.

IPRS berkaitan kemampanan melindung nilai pendedahan kadar keuntungan Axis-REIT (daripada pembiayaan berkaitan kemampanan berstruktur yang sama) dan pada masa yang sama menjajarkan harga IPRS dengan matlamat ESG jangka panjangnya.

Berita Harian X