Khamis, 6 Oktober 2022 | 12:36pm
Toh Wee (empat dari kiri) pada majlis penyenaraian Cosmos di Pasaran ACE Bursa Malaysia
Toh Wee (empat dari kiri) pada majlis penyenaraian Cosmos di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Saham Cosmos bermula mantap di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR: Cosmos Technology International Bhd membuat penampilan sulung yang kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 50 sen hari ini, premium sebanyak 15 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 35 sen.

Pada loceng pembukaan, kaunter menyaksikan 7.98 juta saham bertukar tangan.

Sebelum ini, penyedia penyelesaian teknologi air bersepadu untuk industri air dan air sisa serta minyak dan gas telah disenaraikan di Pasaran LEAP antara 9 Mac 2020 dan 10 November 2021 sebelum melakukan penyahsenaraian secara sukarela untuk memudahkan pemindahannya ke Pasaran ACE.

Pengarah Urusan Cosmos, Datuk Chong Toh Wee, berkata syarikat itu menjangka permintaan kukuh daripada pelanggan baharu dan sedia ada untuk produk logam fabrikasinya yang digunakan dalam sektor minyak dan gas memandangkan harga minyak mentah kekal menarik.

"Prospek untuk perniagaan kami dalam beberapa tahun akan datang masih optimistik.

"Ini juga disebabkan oleh permintaan yang kukuh bagi meter aliran elektronik daripada industri air dan air sisa di Malaysia dengan penggunaan pendigitalan dan automasi dalam memantau laluan air di negara kita," katanya kepada media selepas majlis penyenaraian di sini, hari ini.

Daripada jumlah RM22.44 juta hasil yang diperoleh daripada pelaksanaan penyenaraian itu, syarikat akan memperuntukkan RM10 juta bagi pemerolehan sebuah kilang separa berkembar terdiri daripada kemudahan pejabat dan gudang di Balakong, Selangor dan RM3.5 juta untuk pembelian jentera baharu.

Toh Wee berkata, dana yang diperoleh akan membolehkan syarikat mempercepatkan usahanya dalam memperkemas dan menyatukan operasinya, mengautomasikan proses pengeluaran dan meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti.

"Dengan bangunan kilang baharu, kami akan menggabungkan operasi kerana kami mempunyai dua kilang berasingan di Semenyih dan Balakong dan mahu menyelaraskan pentadbiran dalaman dengan proses kewangan untuk meningkatkan kecekapan sambil mengurangkan masa dan kos buruh.

"Kami juga akan membeli jentera baharu untuk kilang termasuk mesin pemotong laser dan mesin pemotong paip tiub serta mesin brek tekan dan mesin kimpalan robotik untuk meningkatkan kecekapan dan kapasiti pengeluaran," kata Toh Wee.

-BERNAMA

Berita Harian X