Rabu, 5 Oktober 2022 | 10:49pm
Syarikat penerbangan baharu, MYAirline Sdn Bhd - Foto Facebook MYAirline
Syarikat penerbangan baharu, MYAirline Sdn Bhd - Foto Facebook MYAirline

MYAirline guna model penerbangan tambang rendah

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan baharu, MYAirline Sdn Bhd akan melaksanakan model perniagaannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) berdasarkan permohonannya kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada Februari 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo Kheng Hock menjelaskan, syarikat penerbangan itu tidak berhasrat untuk menjalankan perniagaan itu sebagai syarikat penerbangan tambang murah ultra (ULCC), sebaliknya istilah itu dicipta oleh pihak lain pada awal tahun ini.

"Sebagai sebuah LCC dan penggiat baharu di pasaran, kecekapan kos adalah asas kepada kami. Keselamatan tentunya menjadi keutamaan yang pertama bagi kami.

"Kami menggunakan teknologi dan inovasi untuk mengurangkan kos. Kami memberi penekanan terhadap kualiti perkhidmatan yang baik kepada penumpang," katanya kepada Bernama.

Pada 22 Disember tahun lalu, MAVCOM meluluskan pengeluaran Kelulusan Bersyarat (CA) bagi Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kepada Z9 Elite Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai MYAirline, untuk tempoh setahun sehingga 31 Disember 2022.

Syarikat penerbangan itu kemudiannya menerima Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dengan permit sah mulai 1 Oktober 2022 hingga 30 September 2023.

MYAirline ditubuhkan pada Januari 2021 dengan modal berbayar RM2 juta. Pemegang saham MYAirline termasuk Zillion Wealth Bhd yang memegang 88 peratus kepentingan ekuiti, Trillion Cove Holdings Bhd (10 peratus) dan Kheng Hock (dua peratus).

ULCC merujuk kepada syarikat penerbangan yang menawarkan tambang lebih murah berbanding LCC, tetapi tidak menyediakan apa-apa kemudahan atau perkhidmatan bersekali dengan tambangnya, termasuk bagasi yang boleh dibawa masuk ke dalam pesawat.

Kemudahan atau perkhidmatan bagi ULCC akan dikenakan bayaran tambahan.

-BERNAMA

Berita Harian X