Rabu, 5 Oktober 2022 | 2:42pm
OCK Group Bhd (OCK)
OCK Group Bhd (OCK)

OCK perkukuh perniagaan di Laos

VIENTIANE: OCK Group Bhd (OCK), pembekal penyelesaian rangkaian telekomunikasi memeterai perjanjian pegangan saham dengan Kementerian Kewangan Laos bagi mengukuhkan kehadirannya di negara itu.

Pengarah Urusan Kumpulan OCK, Sam Ooi Chin Khoon, berkata di bawah perjanjian itu, OCK akan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama, OCK Laos TowerCo Co Ltd.

Beliau berkata, OCK akan memegang kepentingan majoriti sebanyak 70 peratus, manakala baki 30 peratus akan dimiliki oleh Kementerian Kewangan Laos.

"OCK Laos TowerCo kemudiannya akan memohon lesen menara di Laos. Usaha strategik ini akan membolehkan OCK memanfaatkan industri telekomunikasi di Laos dan mengembangkan lagi jejak global kumpulan.

"Adalah satu penghormatan untuk bekerjasama dengan kementerian kewangan Laos dalam membawa kesalinghubungan yang berkualiti kepada rakyat negara itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian telah diadakan di Vientiane City, di mana OCK diwakili Chin Khoon dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, David Low Hock Keong manakala Laos diwakili oleh Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Telekomunikasi Laos, Soudchay Lorlonesy dan Dr Sonephet Inthavong.

Majlis disaksikan oleh Menteri Teknologi dan Komunikasi Laos, Profesor Dr Borviengkham Vongdala dan Timbalan Menteri Kewangan, Bounpone Vannachith.

Mengulas lanjut, Ooi Chin Khoon, berkata kerjasama itu membolehkan kumpulan mengetengahkan perkhidmatan berkualiti ke bahagian lain Asia Tenggara dan seterusnya meningkatkan pengiktirafan jenama serta reputasinya di peringkat serantau.

Beliau berkata, OCK percaya kepada keperluan untuk sentiasa melihat mengembangkan perkhidmatan telekomunikasinya agar lebih sesuai dengan industri yang berkembang pesat dan permintaan berterusan untuk sambungan yang lebih baik.

"Oleh itu, memandangkan kemasukan kami tepat pada masanya, kami percaya bahawa kami akan dapat memanfaatkan industri 5G baharu di Laos," katanya.

Berita Harian X