Rabu, 5 Oktober 2022 | 1:06pm
(Gambar fail) Kapal LCS yang masih di dalam pembinaan ketika lawatan media ke tapak pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) di Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
(Gambar fail) Kapal LCS yang masih di dalam pembinaan ketika lawatan media ke tapak pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) di Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Dua subkontraktor LCS saman Boustead

KUALA LUMPUR: Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) telah disaman oleh dua subkontraktor yang terbabit dalam projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, BHIC berkata saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 September oleh syarikat 51 peratus miliknya, Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) dan Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) .

Saman itu menamakan pengarah nominee BNS, BHIC, BHIC Defence Technologies Sdn Bhd (BHICDT) dan BHICDT, Salihin Abang dan Syed Zahiruddin Putra Syed Osman.

Di bawah writ saman dan pernyataan tuntutan (WCCS), CAD dan CED mendakwa bahawa keputusan BNS untuk menarik balik 12 surat anugerah (LoA) untuk projek LCS adalah tidak sah.

Syarikat berkenaan telah dipertanggungjawabkan untuk membeli peralatan daripada pengeluar peralatan asli (OEM) untuk frigat tentera laut.

LoA dilaporkan telah dibatalkan oleh BNS pada bulan lalu berikutan dakwaan salah laku dan urus niaga palsu.

CAD menuntut RM880,068.21, 39.87 juta euro, 3.78 juta pound British dan 55.94 juta kronor Sweden dalam dakwaan jumlah tertunggak daripada BNS, manakala CED menuntut RM216 juta.

BHIC menguasai 27.77 peratus kepentingan dalam BNS, kontraktor Kementerian Pertahanan, untuk membina enam frigat di bawah program LCS.

Penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mendedahkan percanggahan dan kelewatan dalam projek pembinaan LCS bernilai RM9 bilion sejak 2017.

Kontrak itu telah diberikan kepada BNS melalui rundingan terus, dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion, tetapi tidak satu pun LCS telah diserahkan setakat ini.

Menurut laporan yang didedahkan oleh jawatankuasa penyiasatan tadbir urus, perolehan dan kewangan, kos untuk menyiapkan enam LCS mungkin meningkat kepada RM11.145 bilion.

Berita Harian X