Rabu, 5 Oktober 2022 | 12:42pm
Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar.
Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar.

Bajet 2023: Pertama Digital harap sektor perbankan lebih terbuka

KUALA LUMPUR: Pertama Digital Bhd, syarikat teknologi senaraian awam yang dahulunya dikenali sebagai Sinotop Holdings, berharap sektor perbankan yang lebih terbuka dan kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membenarkan pihak ketiga mempunyai akses kepada data tertentu melalui pengaturcaraan aplikasi antara muka (API).

Pengarah Strateginya, Saify Akhtar berkata langkah itu akan membawa kepada lebih banyak persaingan sihat dalam industri dan dengan itu merangsang pertumbuhannya.

Selain itu, ia akan menjadikan fintech lebih mudah diakses.

"Pada masa ini, rejim kawal selia untuk API terbuka hanya dikhususkan untuk mengakses data kad dan insurans, seperti yang digunakan oleh pengagregat data.

"Kami berharap kerajaan dapat meningkatkan peruntukan belanjawan dalam mewujudkan rangka kerja yang lebih komprehensif untuk memudahkan penggunaan perbankan terbuka," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, pihaknya berharap kebolehcapaian internet di negara ini dapat diperluaskan lagi ketika dunia bergerak ke arah sambungan 5G.

"Sebahagian daripada Malaysia masih menghadapi cabaran dengan akses internet asas.

"Kami berharap kerajaan dapat menguatkuasakan syarikat penyedia telco untuk membenarkan data percuma atau menyenarai putih aplikasi berdaftar tertentu yang diperlukan untuk perbankan dalam talian dan e-dompet.

"Kami berharap dapat melihat peruntukan belanjawan yang sihat untuk menyokong inisiatif ini untuk menjadikan internet boleh diakses oleh semua pengguna," katanya.

Dalam masa sama, Saify penekanan dalam mempromosikan kesedaran tentang Fintech dan Keselamatan Digital juga penting ketika negara menuju ke arah masyarakat berteraskan digital.

"Kita mesti memastikan rakyat daripada semua peringkat umur tidak ketinggalan. Memahami bahawa pendigitalan dan pembangunan teknologi bergerak dengan pantas, fintech mungkin agak menakutkan bagi mereka yang tidak memahaminya.

"Oleh itu, kami memohon kerajaan mempertimbangkan peruntukan bajet yang besar untuk mendidik rakyat khususnya warga emas mengenai fintech dan perbankan mudah alih.

"Memandangkan peningkatan dalam skim scam dan penipuan baru-baru ini, justeru kepercayaan umum terhadap e-perbankan adalah rendah," tambahnya.

Susulan itu, kerajaan wajar membantu meningkatkan kepercayaan terhadap fintech untuk meningkatkan kecekapan perbankan dan mengelakkan kerugian, sekali gus mengurangkan pergantungan pada perkhidmatan cawangan bank dan pengendalian tunai.

Berita Harian X