Selasa, 6 September 2022 | 12:58pm
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Southern Score, Gan Yee Hin.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Southern Score, Gan Yee Hin.

Southern Score cadang kembangkan perniagaan G Neptune

KUALA LUMPUR: Southern Score Bhd (SSB) yang akan mengambil alih G Neptune Bhd secara pengambilalihan berbalik merancang mengembangkan lagi perniagaan dengan meningkatkan lagi buku tempahan menerusi pelbagai projek sedia ada dan akan datang.

Ia sekali gus akan meningkatkan lagi kehadiran (SSB) di dalam pasaran tempatan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SSB, Gan Yee Hin berkata, selain meningkatkan perolehan projek untuk masa-masa akan datang, SSB berhasrat untuk meneroka pembuatan sistem binaan industri (IBS) di mana ketika ini sudah menjadi trend di dalam sektor pembinaan dan inisiatif kerajaan.

Beliau berkata, bagi menjayakan projek ini, SSB telah mengadakan usahasama dengan TCS Group Holdings (TCS) pada April 2021 di mana syarikat usahasama iaitu TCS SS Precast Construction Sdn Bhd (TSPC), kontraktor CIDB gred 7 ditubuhkan.

Di dalam syarikat berkenaan TCS memegang kepentingan ekuiti 65 peratus manakala 35 peratus dikuasai oleh SSB.

"Menerusi usahasama ini, kami akan meneroka pengeluaran produk-produk IBS di mana kami telah peruntukkan RM11.2 juta bagi kilang pra tuang (pre cast)," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Yee Hin memiliki latar belakang Sarjana Kejuruteraan (Awam dan Struktur) dari Universiti Sheffield United Kingdom pada tahun 2015.

Selepas tamat pengajian beliau dilantik sebagai Pengarah eksekutif di Platinum Victory Holdings Sdn Bhd dengan menerajui pasukan pemasaran dan jenama.

Di Southern Score, beliau memanfaatkan kelayakannnya dengan mengawasi pembinaan dan pembangunan projek.

Di antara tahun 2015 hingga 2021 beliau berjaya mengumpul pengalaman di bawah portfolionya sebanyak 32 projek dengan nilai pembangunan kasar RM10.9 bilion.

Yee Hin melihat permintaan bagi produk-produk IBS ini sangat tinggi di mana sektor pembinaan mula menjadikan produk-produk tersebut sebagai pilihan utama di dalam membina bangunan kerana kualitinya selain dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.

Malah kerajaan juga amat menyokong penggunaan IBS ini dengan memberi pelbagai insentif kepada para kontraktor.

Sebagai pemain industri, beliau melihat sektor pembinaan masih lagi perlahan selepas COVID-19 dan juga cabaran dari kekurangan bekalan, peningkatan kos dan isu tenaga kerja.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya beliau melihat sektor pembinaan masih lagi positif dengan sokongan dan pelbagai inisiatif dari kerajaan untuk menyokong institusi ekonomi selain dari peningkatan permintaan eksport.

Ketika ini pihaknya mengendalikan enam projek di Kuala Lumpur iaitu Vista Wirajaya 1 @ PV9 Residences dengan nilai kontrak RM308.68 juta, Platinum Arena Residences (RM199.11 juta) Vista Sentul Residences (RM149.57 juta), Vista Harmoni Residences (RM131.41), Berlian Setapak 2 Residences (RM110), dan projek sepanjang Jalan Sungai Besi (RM167 juta).

Daripada projek berkenaan, projek Vista Wirajaya1 @ PV9 Residen hampir siap, manakala Berlian Setapak 2 Residen dan projek di sepanjang Jalan Sungai Besi kedua-duanya dianugerahkan pada Januari dan Mac lalu.

"SSB merupakan pakar dalam perkhidmatan 'turnkey' dan perkhidmatan kontrak untuk hartanah kediaman bertingkat di mana penglibatan kami bermula daripada kerja-kerja awal termasuk merancang, mereka bentuk, pelaksanaan selepas pembinaan," katanya.

Tambah beliau, perniagaan IBS hanyalah satu permulaan di mana isu-isu sektor pembinaan perlu di ambil kira terlebih dahulu.

Namun pihaknya memfokuskan kepada pengambilalihan G Neptune sebagaimana diumumkan yang mana dilihat boleh meningkatkan portfolio kami di dalam pasaran tempatan.

Berita Harian X