Jumaat, 30 September 2022 | 2:34pm
Cagamas Bhd
Cagamas Bhd

Cagamas muktamad terbitan bon, sukuk RM1.63 bilion

KUALA LUMPUR: Cagamas Bhd menetapkan harga terbitan bon bernilai RM1.63 bilion dengan hasilnya akan dimanfaatkan bagi pembelian pinjaman dan pembiayaan perumahan daripada sistem kewangan.

Terbitan itu merangkumi masing-masing Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) setahun bernilai RM560 juta, Nota Jangka Sederhana Konvensional setahun bernilai RM30 juta, CMTN dua tahun bernilai RM40 juta, CMTN tiga tahun RM30 juta dan agregat SG$300 juta Nota Jangka Sederhana Kadar Tetap Euro (EMTN).

Dalam kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong, berkata dalam senario tindakan bank-bank pusat utama memperketat dasar monetari serta Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah yang ketara, Cagamas berjaya memuktamadkan penerbitan bon dan sukuk bernilai RM1.63 bilion dari pasaran domestik serta antarabangsa.

"Permintaan bon mata wang asing Cagamas kekal berdaya tahan dalam ketidaktentuan pasaran dan dilanggan sepenuhnya oleh pelabur asing, termasuk pengurus aset, institusi kewangan dan syarikat insurans.

"Terbitan dalam dolar Singapura (SG) juga menandakan langkah terbitan mata wang asing ketiga serta keempat syarikat bagi tahun ini dan menjadikan terbitan denominasi SG kepada SG$550 juta setakat tahun ini," katanya.

Menurut Chee Leong, Cagamas juga berjaya mengumpulkan sebanyak RM660 juta daripada pasaran domestik menerusi penetapan harga CMTN/IMTN pada 37 mata asas kepada 46 mata asas dan melepasi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)/ Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) yang sepadan.

"Pemuktamadan transaksi tersebut menjadikan jumlah terbitan Cagamas setakat tahun ini kepada RM12.70 bilion," katanya.

Beliau berkata, terbitan bon dalam denominasi dolar SG dan terbitan CMTN/IMTN tersebut akan dijamin penuh serta tanpa syarat oleh Cagamas dan terbitan itu ditebus pada nilai nominal penuh apabila matang.

Ini juga adalah obligasi tidak bercagar syarikat, pada kedudukan pari passu dengan semua obligasi tidak bercagar syarikat yang sedia ada.

-BERNAMA

Berita Harian X