Jumaat, 23 September 2022 | 4:51pm
Hang Ping (empat dari kiri) pada pelancaran prospektus Sunview di Kuala Lumpur, hari ini - Foto ihsan Sunview
Hang Ping (empat dari kiri) pada pelancaran prospektus Sunview di Kuala Lumpur, hari ini - Foto ihsan Sunview

IPO Sunview bakal jana modal RM34.22 juta

KUALA LUMPUR: Sunview Group Bhd, syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang 17 Oktober ini, dijangka mengumpul RM34.22 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

Ketua Pegawai Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping, berkata daripada hasil itu, RM20.1 juta atau 58.72 peratus akan dipakai bagi membiayai keperluan modal kerja syarikat, RM7 juta atau 20.46 peratus untuk pembayaran balik pinjaman bank dan RM1.86 juta atau 5.42 peratus sebagai perbelanjaan modal.

Sebanyak RM1.67 juta atau 4.88 peratus akan digunakan untuk pengembangan perniagaan manakala baki RM3.6 juta atau 10.52 peratus akan digunakan bagi membiayai perbelanjaan penyenaraian.

"Selepas disenaraikan, syarikat akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM135.72 juta berdasarkan modal saham yang diperbesarkan berjumlah 468 juta saham," katanya kepada pemberita dalam taklimat selepas pelancaran prospektus syarikat itu di sini, hari ini.

Syarikat berkenaan juga merancang untuk memanfaatkan rekod prestasinya sejak 2013 bagi mendapatkan kontrak baharu untuk meningkatkan tempahan dalam tangan membabitkan perniagaan fotovoltan (PV) solar serta mengembangkan perniagaan penjanaan dan pembekalan tenaga solar bagi membina aliran pendapatan berulang yang kukuh.

"Kami merancang untuk menubuhkan sebuah pejabat baharu di Johor untuk memudahkan pengembangan perniagaan kami termasuk meningkatkan kedudukan pasaran di wilayah selatan.

"Selain itu, kami juga sedang mengkaji untuk memperluaskan EPCC (kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan) biogas dan produk pelengkap," katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai kesan lonjakan dolar Amerika Syarikat (AS) terhadap harga panel solar yang diimport, yang menjadi komponen terpenting untuk operasi syarikat berkata, harga panel solar yang diimport telah turun naik dari tahun ke tahun, yang mana semasa pandemik, ia meningkat sehingga 60 peratus.

Bagaimanapun, harga telah mula menurun kepada kira-kira 40 hingga 50 peratus selepas keadaan menjadi lebih stabil.

"Kami fikir keadaan ini sudah pun berlalu. Walaupun kami tidak dapat mengawal kenaikan harga, syarikat boleh memanfaatkan pengalaman serta kepakarannya untuk mengoptimumkan dan melihat bagaimana kami boleh menjadikan keadaan ini lebih kos efektif, sesuai dengan margin syarikat," katanya.

Hang Ping yakin dengan prospek syarikat memandangkan ia mempunyai pengalaman selama lebih kurang 10 tahun dalam perniagaan RE susulan kerjasama rapatnya dengan pelabur PV solar yang menjadi pelanggan EPCC fasiliti solar Sunview.

"Hubungan kami dengan pelabur PV solar akan memberi syarikat kelebihan dalam menawarkan perbelanjaan modal sifar kepada pengguna termasuk menggalakkan pemasangan kemudahan PV solar untuk berfungsi sebagai platform bagi segmen perniagaan fasiliti solar PV," katanya.

Sunview terbabit dalam EPCC serta perkhidmatan pembinaan dan pemasangan kemudahan PV solar, penjanaan termasuk pembekalan tenaga solar.

IPO syarikat itu akan dilakukan melalui terbitan 118 juta saham baharu, mewakili 25.21 peratus saham terbitan yang diperbesarkan dalam Sunview pada harga terbitan 29 sen sesaham.

Setakat tarikh akhir pelaksanaan (LPD) 31 Ogos 2022, syarikat itu mempunyai sejumlah RM558.34 juta, termasuk tujuh projek loji Solar PV Berskala Besar (LSS) yang dijangka siap secara berperingkat antara tahun kewangan 2023 dan 2024.

-BERNAMA

Berita Harian X