Selasa, 30 Ogos 2022 | 11:34am
Perbadanan gadai janji nasional, Cagamas Bhd
Perbadanan gadai janji nasional, Cagamas Bhd

Cagamas muktamad terbitan bon RM500 juta

KUALA LUMPUR: Cagamas Bhd memuktamadkan terbitan bon bernilai RM500 juta, terdiri daripada bon sosial ASEAN dua tahun bernilai RM45 juta, Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) dua tahun bernilai RM205 juta dan CMTN tiga tahun bernilai RM250 juta.

Menurut perbadanan gadai janji nasional itu dalam kenyataan hari ini, hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membeli aset yang layak daripada sistem kewangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong, berkata terbitan itu adalah urus niaga kedua syarikat berkaitan kemampanan pada bulan yang sama.

"Sehingga kini, syarikat telah memuktamadkan bon dan sukuk berkaitan kemampanan bernilai RM1.7 bilion sejak terbitan sulung pada 2020.

"Ini memaparkan komitmen syarikat untuk terus memangkin pembangunan pasaran modal pendapatan tetap yang mampan dan bertanggungjawab," katanya.

Chee Leong berkata, syarikat berjaya menetapkan harga bon sosial dua tahun sebanyak dua mata asas (bps) lebih rendah berbanding CMTN dua tahun, mencatatkan tebaran kompetitif sebanyak 40 hingga 42 bps melebihi Sekuriti Kerajaan Malaysia yang setara.

"Bon sosial untuk rumah mampu milik diberi penarafan manfaat sosial tertinggi Tier-Satu oleh RAM Sustainability Sdn Bhd di bawah rangka kerja bon dan sukuk mampan Cagamas," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X