Jumaat, 26 Ogos 2022 | 3:18pm
Petronas Gas Bhd (PetGas)
Petronas Gas Bhd (PetGas)

PetGas catat keuntungan lebih rendah

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd (PetGas) menyusut kepada RM396.50 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada RM439.07 juta setahun lalu, disebabkan kadar cukai efektif yang lebih tinggi berikutan pengenaan Cukai Makmur bagi tahun taksiran 2022.

Hasil bagi suku itu meningkat kepada RM1.50 bilion daripada RM1.38 bilion pada suku kedua 2021, terutamanya disebabkan oleh hasil yang lebih tinggi daripada segmen utiliti.

Pendapatan sesahamnya juga merosot kepada 20.04 sen pada suku kedua 2022 berbanding 22.19 sen pada suku kedua 2021.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PetGas berkata hasil segmen utiliti meningkat sebanyak 35.5 peratus atau RM110.7 juta pada suku terbabit, terutamanya disebabkan harga produk yang lebih tinggi dan jumlah jualan elektrik yang lebih tinggi.

"Harga produk lebih tinggi sejajar dengan harga bahan api gas yang berdasarkan harga pasaran rujukan, manakala jumlah jualan elektrik meningkat berikutan pelaksanaan bekalan elektrik ke grid di bawah Susunan Penghantaran Baharu Yang Dipertingkatkan dari Ogos 2021 dan seterusnya," katanya.

Sementara itu, loji pemprosesan gas kumpulan itu telah mengekalkan prestasi operasi bertaraf dunia mereka, merekodkan kebolehpercayaan 100 peratus dan peningkatan hasil sebanyak 2.3 peratus atau RM9.8 juta tahun ke tahun disebabkan oleh insentif penggunaan gas dalaman yang lebih tinggi yang dicapai.

Terminal regasifikasi gas asli cecair PetGas di Sungai Udang, Melaka dan Pengerang, Johor mengekalkan prestasi kebolehpercayaan yang kukuh pada hampir 100 peratus pada suku berkenaan.

Pada separuh pertama 2022, PetGas juga mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM807.08 juta berbanding RM955.47 juta pada separuh pertama 2021.

Melangkah ke hadapan, PetGas berkata ia menjangkakan akan kekal berdaya tahan didorong oleh kontrak jangka panjang yang memastikan aliran hasil yang stabil, terutamanya untuk pemprosesan gas, pengangkutan gas dan segmen perniagaan regasifikasi semula.

Kumpulan itu menekankan bahawa ia telah memperbaharui beberapa kontrak utiliti jangka panjang, yang meningkatkan margin segmen untuk prestasi suku kedua 2022 di tengah-tengah kos bahan api gas yang lebih tinggi.

Namun begitu, jangkaan kenaikan Harga Rujukan Malaysia, aliran ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan pengenaan Cukai Kemakmuran boleh memberi kesan kepada prestasi keseluruhan kumpulan, tambah PetGas.

"Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada prestasi operasi yang cemerlang dan kekal komited untuk memastikan tahap pulangan yang mampan kepada pemegang saham kami," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X